Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Kerajaan komited realisasi ekonomi berpendapatan tinggi

May 9, 2011

MBE yang bertumpu kepada lapan inisiatif perubahan strategik, akan dilaksanakan sepenuhnya untuk menjadikan Malaysia lebih kukuh dan kompetitif di dunia.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan menerima pakai laporan Model Baru Ekonomi (MBE) dan komited merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata MBE yang bertumpu kepada lapan inisiatif perubahan strategik, akan dilaksanakan sepenuhnya untuk menjadikan Malaysia lebih kukuh dan kompetitif di dunia.

“Semua prinsip yang anda dimuatkan dalam MBE merupakan garis panduan yang sangat penting untuk kami.

“Ia merupakan semua reformasi yang akan menjadikan Malaysia lebih kukuh dan bersaing secara lebih kompetitif di dunia,” kata Najib pada jamuan tengah hari tadi untuk anggota Majlis Penasihat Ekonomi (NEAC), di pejabat beliau di sini.

Turut hadir Pengerusi NEAC Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

NEAC diwujudkan dua tahun lepas bagi menjalankan kajian dan mengenal pasti usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.

Hasil kajian dan cadangan oleh NEAC terkandung dalam dua laporan MBE yang diumumkan masing-masing pada Mac dan Disember 2010.

NEAC dalam laporan keduanya, menetapkan 53 dasar penting untuk menangani halangan pengurangan kos untuk Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, mampan dan inklusif menjelang 2020.

Modal insan berkemahiran tinggi

Ia menetapkan lapan SRI yang dikenal pasti dalam bahagian satu laporan yang menekankan modal insan berkemahiran tinggi, perkhidmatan awam yang cekap, mencergaskan sektor swasta dan peluang saksama untuk semua rakyat Malaysia.

MBE dirangka bersama-sama program lain seperti Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Bidang Keberhasilan Utama Negara, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Belanjawan 2011, bagi menyokong objektif kerajaan mencapai status negara maju.

Najib berkata setiap inisiatif itu kini diselaraskan, dengan setiap cadangan dikaji dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata lapan SRI itu merupakan bahagian yang sangat penting dalam Model Baru Ekonomi.

Pelaburan berimpak tinggi

“Ramai rakyat memberi tumpuan terhadap ETP kerana ia lebih menarik dan mereka boleh melihat angka dan peluang. Orang ramai boleh melihat pelaburan berimpak tinggi dan pekerjaan baharu yang diwujudkan.

“Namun tanpa SRI, anda tidak dapat bergerak pada tahap yang dikehendaki,” kata Najib.

Beliau berterima kasih kepada anggota NEAC atas perkhidmatan dan sumbangan mereka dalam menyediakan laporan MBE itu.

“Meskipun mereka akan memuktamadkan kerja pada akhir bulan ini dan hari ini menghadiri mesyuarat terakhir mereka, saya mahu anggota majlis terus menyumbang kepada masa depan Malaysia.

“Saya mahu anda merasakan bahawa anda sebahagian daripada Malaysia. Dan, walaupun tugas anda sudah berakhir, anda merupakan sebahagian daripada projek ini dan terus sumbangan masa depan untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu,  Amirsham mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan mereka peluang untuk menyumbang ke arah pembangunan Malaysia pada masa depan.

Beliau menyuarakan rasa puas hatinya terhadap respons segera kerajaan terhadap cadangan-cadangan oleh NEAC dan yakin dasar yang relevan akan dilaksanakan secara progresif.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments