Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Calon Naib Presiden PAS perlu bentang manifesto

 | May 25, 2011

"Ini memandangkan terdapat seramai 14 nama dicalonkan untuk merebut hanya tiga jawatan naib presiden dalam parti," kata Dr Hatta Ramli.

KUALA LUMPUR: Calon yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden pada pemilihan Muktamar PAS 3 Jun depan perlu membentangkan manifesto, visi dan misi mereka serta apa yang boleh disumbangkan oleh mereka,” kata Bendahari Agung Dr Hatta Ramli.

Beliau berkata, ini memandangkan terdapat seramai 14 nama dicalonkan untuk merebut hanya tiga jawatan naib presiden di dalam parti.

Mereka memerlukan pelantar untuk mengetengahkan pandangan, manifesto dan wawasan mereka.

“Dengan cara ini, barulah kita boleh bandingkan hasrat dan pencapaian calon,” jelas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (AJK Pusat) itu di ibu pejabat parti itu di sini semalam.

Bagaimanapun beliau yang dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden dan AJK Pusat dalam sesi pemilihan muktamar pada 3 Jun ini sehingga ini belum memutuskan samada untuk bertanding dua jawatan tersebut.

Namun begitu beliau menyifatkan pencalonan untuk jawatan naib presiden sebagai satu penghormatan dan sebagai suatu pengiktirafan kepada beliau dan akan mengumumkan keputusan beliau dalam sehari dua lagi.

Beliau turut ditanya mengenai pandangan mengenai ura-ura bahawa berkemungkinan beliau tidak menang untuk jawatan naib presiden kerana perwakilan tidak mengenali beliau.

“Dalam pemilihan lepas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu kalah. Adakah ini bermakna bahawa mereka tidak dikenali perwakilan?

“Saya bertanding untuk jawatan AJK Pusat dan dapat undi tertinggi. Adakah ini bermakna bahawa perwakilan kenal saya ketika itu dan tidak sekarang?” soalnya kembali.

Kumpulan Erdogan?

Persoalan berkenaan pengaruh golongan ulama dan kumpulan Erdogan dalam konteks pemilihan parti turut dilontarkan kepada beliau memandangkan kepimpinan PAS dilihat sebagai lebih mengutamakan kepimpinan ulama.

Erdogan merujuk kepada calon profesional bukan ulama dalam PAS. Terma tersebut pada asalnya merujuk kepada mantan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

“Perwakilan tidak memilih calon berdasarkan ulama atau tidak. Ia berdasarkan populariti calon dan mengikut kehendak negeri. Pemilihan juga bersifat spontan,” jelas doktor yang berusia 55 tahun itu.

Beliau turut mengulas berkenaan isu pelawaan Umno kepada PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan atas dasar agama.

“Pelawaan itu bersifat politik oportunis untuk menyelesaikan masalah dalaman Umno. PAS dirapati kerana Umno mahu memecah kesepakatan Pakatan Rakyat.

“Dalam tahun 2004, ada PAS, Islam dan Umno tapi mereka tak pandang pun kita sebab Umno kuat ketika itu,” jelas beliau.

Muktamar PAS kali ini akan di adakan di Pusat Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak dekat sini dari 3 hingga 5 Jun.  Mesyuarat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan di premis yang berasingan di Shah Alam sehari sebelum itu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments