Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Persidangan perwakilan SUPP lebih awal dari Disember

June 6, 2011

Presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata persidangan itu mungkin diadakan secepat mungkin sama ada pada September atau Oktober.

KUALA LUMPUR: Persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mungkin diadakan lebih awal daripada yang dirancang pada Disember tahun ini, kata Presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Beliau berkata persidangan itu mungkin diadakan secepat mungkin sama ada pada September atau Oktober tetapi semua itu hanya boleh dilakukan jika ia diluluskan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang sebelum ini memutuskan ia diadakan pada Disember.

“Semuanya bergantung pada CWC. Bagaimanapun, bagi saya, saya mahu menghentikan semua dakwaan yang tidak berasas terhadap saya dan pemimpin parti yang lain,” katanya ketika dihubungi.

Chan, yang mengambil alih jawatan presiden parti pada 1996 telah mengemukakan surat perletakan jawatan sehari sebelum pilihan raya negeri 16 April yang menyaksikan parti itu tewas 13 daripada 19 kerusi yang ditandingi di bawah Barisan Nasional.

Chan, yang merupakan bekas timbalan ketua menteri hilang kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Piasau kepada calon DAP Ling Sie Kiong pada pilihan raya itu tetapi perletakan jawatannya ditolak CWC yang meminta beliau menangguhkannya sehingga persidangan itu pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, gerak isyarat beliau untuk melepaskan jawatan presiden pada persidangan itu dipersoalkan oleh sesetengah anggota parti menyebabkan beliau dukacita terutama kerana integriti politiknya dipersoalkan.

Selain dipersoalkan sesetengah anggota parti, Chan juga menghadapi kemungkinan disoal di mahkamah bagi menjawab berhubung kegagalan CWC mengadakan satu mesyuarat tergempar jawatankuasa pusat (CC).

Sekumpulan 58 anggota CC, yang mendesak mesyuarat tergempar itu, telah mendapatkan khidmat sebuah firma guaman meminta Chan menjawab berhubung kegagalannya mengadakan mesyuarat tergempar atau menghadapi tindakan
undang-undang kerana mereka mahu mesyuarat tergempar itu diadakan secepat mungkin bagi memilih presiden baru dan anggota CWC yang lain.

Kumpulan itu tidak berpuas hati kerana pada 27 Mei, CWC telah menolak untuk mengadakan mesyuarat tergempar CC bagi membincangkan isu berhubung pelan peralihan kepimpinan.

Bagaimanapun, CWC mempertahankan bahawa persidangan itu merupakan satu-satunya badan tunggal yang sah untuk memilih presiden baru dan anggota CWC parti.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments