Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

RM60,000 bagi tiga pilihan raya JKKK Selangor

 | June 7, 2011

Ean Yong Hian Wah berkata projek ini mampu mengembalikan hak kepada penduduk tempatan untuk menguruskan hal dikampung mereka sendiri.

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sekurang-kurangnya RM60,000 bagi pilihan raya melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di tiga perkampungan Cina bermula Julai depan.

Tiga kawasan itu melibatkan Kampung Baru Sungai Jarum di Kuala Langat pada 24 Julai, serta Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang, masing-masing pada 31 Julai dan 7 Ogos depan.

Menyifatkannya sebagai projek perintis bagi proses pemilihan ketua kampung, Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Ean Yong Hian Wah berkata projek ini mampu mengembalikan hak kepada penduduk tempatan untuk menguruskan hal dikampung mereka sendiri, dan tidak lagi wujud campur tangan Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan lihat dulu keberkesanan proses pemilihan JKKK di tiga kawasan ini. Jika berjaya, kita akan pertimbangkan untuk adakan pemilihan yang sama diseluruh perkampungan di Selangor,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Setakat ini, Selangor mempunyai 368 kawasan perkampungan Melayu dan 78 kawasan perkampungan Cina (kampung bagan).

Ean yang juga Adun Seri Kembangan berkata, projek pilihan raya di tiga kawasan ini juga secara kebetulan berada di bawah tanggungjawab portfolio beliau untuk menguruskan hal ehwal kawasan perkampungan Cina.

Manakala jika berlakunya pilihan raya yang sama di perkampungan Melayu nanti, ia akan dikendalikan oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar Selangor Yaakob Sapari yang bertanggungjawab menjaga kawasan terbabit.

Selain mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) di tiga kawasan terbabit, Ean menafikan pihaknya mempunyai sentimen untuk menguji sokongan penduduk terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Ean turut menegaskan, semasa pemilihan itu nanti seseorang calon yang bertanding tidak boleh mewakili sesuatu parti tetapi hanya atas nama calon itu sendiri, selain memenuhi beberapa kriteria lain yang ditetapkan bagi kelayakan calon.

“Calon sama sekali tidak boleh menggunakan simbol parti politik bagi pilihanraya Pengerusi JKKK kampung…..kena guna nama sendiri,” tegasnya.

Masih mengekalkan kontrak dua tahun bagi ketua kampung, pilihan raya ketua kampung ini katanya tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sepatutnya SPR yang dipertanggungjawabkan untuk buat pilihan raya ini tetapi kerajaan negeri sebelum ini pernah bermesyuarat dengan SPR dan Pejabat Daerah tetapi SPR memutuskan untuk tidak mahu campur tangan dalam pemilihan itu nanti,” katanya.

Pemilihan Pengerusi JKKK itu nanti bakal menyaksikan proses yang sama seperti pilihan raya biasa yang diadakan di Dun dan Parlimen di mana wujudnya pengeluaran writ, hari penamaan calon, RM500 deposit semasa kempen, waktu pengundian, keputusan, serta petisyen bantahan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments