Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Himpunan Bersih: Mercu tanda baru capai demokrasi tulen

 | June 19, 2011

Tuntutan agar sistem pilihan raya menjadi lebih telus dan bebas adalah satu kehendak masyarakat yang berkekalan, kata Wan Azizah.

PETALING JAYA: PKR menyifatkan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai mercu tanda baru dalam usaha rakyat negara ini mencapai demokrasi yang berfungsi sepenuhnya.

Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tuntutan agar sistem pilihan raya menjadi lebih telus dan bebas adalah satu kehendak masyarakat yang berkekalan, maka adalah lebih baik sekiranya tuntutan ini ditangani dengan terbuka dan rasional.

“Dalam konteks ini, masyarakat sudah mual dengan ugutan dan kenyataan provokasi yang dibuat terhadap penganjur Himpunan Bersih.

“Sewajarnya kumpulan-kumpulan yang menentang Himpunan Bersih menghormati hak sebahagian besar rakyat negara ini yang mahu melihat perhimpunan ini berjalan dengan aman, sebagaimana hak mereka berhimpun dihormati selama ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sejak penubuhannya, PKR memberi komitmen sepenuhnya kepada usaha-usaha membaiki sistem pilihan raya di Malaysia. Perhimpunan Bersih adalah lambang kepada usaha tersebut.

PKR kerah anggotanya sertai perhimpunan

“Oleh yang demikian, PKR akan memastikan anggota kami turun beramai-ramai menyertai ratusan ribu rakyat Malaysia yang akan berkumpul pada 9 Julai nanti,” tegas beliau.

Ujar beliau, “saya menyeru supaya pihak berkuasa menunjukkan sedikit keterbukaan dan prihatin dengan hak dan kebajikan rakyat.

“Keputusan yang bijak adalah dengan memberi ruang agar Himpunan Bersih dapat berjalan dengan baik dan aman kerana ini akan mempercepatkan proses kematangan dalam masyarakat kita untuk menangani pendapat dan pendekatan yang berbeza.

Dalam nada yang sama katanya, PKR amat kesal dengan sikap antagonisme pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman Bersih.

“Kenyataan-kenyataan keras yang berbaur ugutan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi KDN (Kementerian Dalam Negeri) mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak akan memberi ruang kepada tuntutan rakyat untuk bersuara dan berhimpun amat dikesali,” katanya.

Menurut Wan Azizah, pada hakikatnya, Himpunan Bersih bukan menjaguhi dan menangani isu hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun semata-mata.

Sistem pilihan raya yang bebas

“Persoalan pokok yang dibawa oleh Himpunan Bersih adalah kejujuran dan kebebasan sistem pilihan raya di negara ini bagi menambahbaik kedudukan masyarakat secara ekonomi mahupun sosial,” terang beliau.

Katanya, PKR menganggap Himpunan Bersih sebagai satu keperluan untuk memangkin keterbukaan masyarakat kita. Perhimpuan Bersih sebenarnya akan menguji pendokong dan penentangnya.

“Di pihak pendokong, ia akan menguji kesepakatan mereka menuntut sistem pilihan raya yang lebih adil dan telus dan di pihak penentang pula perlu membuktikan kesediaan mereka untuk menjadi lebih terbuka dan bertolak ansur.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab penganjur dan peserta Himpunan Bersih untuk mengelak dari sebarang konfrontasi akibat dari cubaan provokasi pihak-pihak yang bertujuan mewujudkan kacau bilau.

“Saya menyeru supaya penganjuran perhimpunan ini mengambil kira langkah-langkah segera oleh peserta-peserta untuk mengurangkan ketegangan jika wujud provokasi.

Beliau menasihatkan para peserta wajar mengetahui selok belok mengenai amalan berhimpun secara aman dan melengkapkan diri dengan pengetahuan keselamatan sebelum menyertai perhimpunan.

“Kepada pihak berkuasa, saya terus berharap mereka menyambut baik tawaran penganjur untuk bekerjasama bagi menjamin perhimpunan berjalan lancar.

“PDRM (Polis DiRaja Malaysia) mestilah menjamin keselamatan peserta dan bertindak secara profesional untuk mengelakkan sebarang cubaan menimbulkan provokasi atau kekacauan oleh mana-mana pihak.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments