Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Min Young Song pelajar praktikal, bukan ejen CIA

 | June 28, 2011

Tuduhan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam yang mengaitkan Song dengan ancaman komunis terhadap keselamatan negara, dipercayai dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 9Julai depan.

KUALA LUMPUR: Min Young Song, warga Korea Selatan yang kini dalam Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil bukannya seorang ejen perisik CIA tetapi hanyalah seorang pelajar praktikal yang sedang membuat projek penyelidikan tentang proses pilihan raya di Malaysia.

Demikian reaksi Setiausaha Agung Institut Nasional Integriti Demokrasi dan Pilihanraya (NIEI) Amin Iskandar terhadap tuduhan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam yang mengaitkan Song dengan ancaman komunis terhadap keselamatan negara, dipercayai dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 9 Julai depan.

Membidas laporan tersebut, Amin sebaliknya berkata Song, 24, seorang pelajar tahun tiga jurusan Kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Chonnam di Korea Selatan, sebenarnya menjalani latihan praktikal dengan NIEI sejak Mac lalu.

“Memantau proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia merupakan sebahagian kerja NIEI dan Song ketika itu sedang melakukan tugasnya sebagai seorang pemerhati.

“Beliau juga membantu NIEI membuat satu kajian bertajuk ‘Election in Malaysia: Comparison studies between Malaysia and South Korea’ yang memerlukannya berkomunikasi dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

“Penahanan Song di Johor minggu lalu adalah kerana melakukan tugasnya memerhatikan perjalanan politik PSM.

“Kami mahu Utusan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Song,”katanya ketika ditemui pemberita diperkarangan luar Balai Polis Bukit Jalil di sini hari ini.

Song ditahan bersama aktivis PSM

Pada Sabtu lalu, Song bersama seorang warga Filipina dan 28 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berada dalam sebuah bas ditahan polis di Ledang, Johor kerana membawa risalah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), namun dibebaskan pada esoknya dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Malangnya, semalam polis menahan semula Song di Bangsar, di sini atas alasan melanggar Akta Imigresen, iaitu menggunakan pasport palsu dan
kini masih ditahan di Pusat Tahanan Bukit Jalil.

Pengarah Program NIEI Ili Farhana Norhayat berkata Song kini berada dalam keadaan ketakutan dan trauma kerana digari dan ditahan tanpa alasan yang munasabah.

“Setakat ini Song berada dalam keadaan sihat dan beliau dilayan dengan baik oleh pihak polis sepanjang proses soal siasat.

“Kami sudah memaklumkan isu ini kepada Kedutaan Korea Selatan dan keluarganya. Song mahu terus pulang ke negara asalnya sebaik saja beliau dibebaskan,” kata Ili selepas melawat Song dalam tahanan di sini.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, Amin memaklumkan pihaknya menerima maklumat daripada Kedutaan Korea Selatan bahawa Song memiliki pasport yang sah.

“Kini kami hanya menunggu pengesahan daripada Jabatan Imigresen. Kemungkinan Song akan dibebaskan esok,” katanya kepada FMT.

NIEI, sebuah NGO yang berdaftar sejak tahun 2007 ditubuhkan untuk memantau perjalanan proses pilihan raya Malaysia dan luar negara, termasuk ASEAN, negara Timur Tengah dan Taiwan.

Malah, NIEI juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memperbaiki sistem pemilihan negara dan tiada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments