Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Bersih 2.0 tiada kaitan gerakan subversif

 | June 29, 2011

"Bersih adalah orang yang memperjuangkan demokrasi dan tidak melibatkan perjuangan komunis kerana komunis tidak mendukung konsep demokrasi," kata Menteri Besar Selangor.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan wujudnya sebarang gerakan subversif atau komunisme dalam kelompok penganjur perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, Khalid berkata perkara itu jelas bertentangan dengan konsep Bersih yang memperjuangkan amalan demokrasi pilihan raya di Malaysia, namun tidak menolak sekiranya gerakan sedemikian ‘terlepas pandang’ oleh penganjur.

“Sudah tentu dari segi pelaksanaan bila kita menguruskan beribu orang terdapat satu atau dua kumpulan yang tidak searus dengan kita.

“Bersih adalah orang yang memperjuangkan demokrasi dan tidak melibatkan perjuangan komunis kerana komunis tidak mendukung konsep demokrasi.

“Bukan demokrasi yang menjahanamkan tetapi demokrasi aman yang menjadikan supaya negara dapat membangun dengan lebih rapi,” katanya dipejabatnya dibangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAS) disini hari ini.

Khalid turut mempertahankan Bersih 2.0 tiada sebarang kaitan dengan usaha sekumpulan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan polis di Pulau Pinang Sabtu lalu.

“PSM boleh jadi menyokong usaha Bersih 2.0 tetapi bukan sebahagian daripada Bersih.

“Serupa juga Perkasa. Boleh jadi sebahagian daripada kumpulan (NGO) tetapi tak semestinya sebahagian daripada Umno, iaitu kumpulan yang adakalanya selari dan ada kalanya tidak selari dengan Umno,” katanya.

Ahad lalu, 30 aktivis PSM yang ditahan di plaza tol Sungai Dua direman mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar dipetik berkata ini berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan yang dilihat mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Antaranya risalah dan baju T yang tertulis nama Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah.

Polis digesa tidak sekat program negeri

Sementara itu, Khalid menggesa polis agar tidak menyekat program kerajaan negeri dalam usaha memberi penerangan dan sesi perjumpaan bersama rakyat.

“Saya difahamkan polis Selangor cuba tutup dewan dan tempat perjumpaan kerana mereka dikatakan berbincang tentang program Bersih.

“Kerajaan Negeri pandang berat kerana ini menyekat kebebasan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya sendiri akan berjumpa dengan Ketua Polis Negeri Datuk Tun Hisan Tun Hamzah supaya menghentikan sekatan terhadap program kerajaan negeri jika keadaan berterusan.

“Saya telah banyak kali nyatakan sokongan usaha supaya pilihan raya umum dibuat dengan adil, telus, cekap dan usaha Bersih 2.0 untuk selesaikan perkara ini mendapat sokongan daripada saya.

“Kita tidak menyekat polis untuk menjaga ketenteraman negeri dan negara kerana ini tanggungjawab mereka tetapi janganlah menghalang kebebasan rakyat,” katanya yang turut mengenakan tali leher kuning sebagai tanda sokongan terhadap perhimpunan itu.

Selain itu, Khalid turut mengakui pihaknya memberikan peruntukan kepada Bersih dalam usaha mengedarkan risalah dan penerangan kepada rakyat Selangor.

“Kita tak bagi peruntukan kewangan tetapi hanya bantuan (tenaga kerja) untuk edarkan risalah.

“Tujuannya bukan untuk (menyeru rakyat) turun berarak tetapi minta rakyat faham apa yang diperjuangkan Bersih.

“Kita tak buat keputusan untuk Bersih tetapi (hanya) bantuan untuk mereka berikan penerangan yang betul tentang Bersih 2.0,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments