Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

‘Perlekeh RCI, jika tak terima keputusan’

July 24, 2011

"Saya tidak faham mengapa mereka tidak boleh terima keputusan tersebut pada hal suruhanjaya itu ditubuhkan atas kehendak orang ramai," kata Syed Akhbar Ali.

KUALA LUMPUR: Pihak yang tidak dapat menerima keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI – Royal Commission of Inquiry) kematian Teoh Beng Hock bahawa pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor itu membunuh diri, dilihat seolah-olah cuba memperlekehkan konsep penubuhan suruhanjaya tersebut.

Anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syed Akhbar Ali berkata tindakan itu juga boleh dianggap seperti tidak menghormati segala undang-undang yang terdapat di negara ini.

“Saya tidak faham mengapa mereka tidak boleh terima keputusan tersebut pada hal suruhanjaya itu ditubuhkan atas kehendak orang ramai dan mengikut proses undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Sekiranya mereka terima keputusan bila suka dan tolak keputusan apabila ia tidak berpihak kepada mereka, maka mereka tidak memberi penghormatan kepada penubuhan suruhanjaya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee bahawa majlis itu tidak bersetuju dengan keputusan suruhanjaya yang mengatakan bahawa Teoh didapati membunuh diri kerana ia tidak disokong dengan bukti-bukti.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Lim yang mahukan penguatkuasa SPRM yang terlibat dengan kematian Teoh itu dikenakan tindakan, Syed Akhbar yang juga Presiden Blog House berkata adalah tidak wajar untuk menuding jari mencari kesalahan orang lain.

“Kalau nak tuding jari pada orang lain susahlah ini kerana keputusan mendapati Teoh bunuh diri dan bukannya dibunuh. Malaysia sebuah negara yang bebas dan demokrasi jadi kita kena terima keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata terpulang sama ada Majlis Peguam ingin merayu atau mencabar keputusan itu di mahkamah kerana ia merupakan hak mereka, bagaimanapun sekiranya keputusan itu tetap tidak berubah, maka mereka perlu menerima dengan hati yang terbuka.

Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Profesor Madya Abd Halim Sidek berkata siasatan perlu dijalankan mengenai dakwaan Majlis Peguam bahawa Teoh mati akibat kecuaian pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan berkenaan.

“Siasatan perlu dijalankan terlebih dahulu sekiranya betul Teoh bunuh diri akibat salah laku pegawai SPRM dan seterusnya mereka perlu disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Saya fikir kenyataan presiden Majlis Peguam itu adalah terlalu awal dan dia tidak perlu terus memberikan keputusan, mereka perlu bersabar dan tunggu (siasatan dijalankan),” katanya.

Abd Halim yang juga Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa, Institut Pemikiran dan Kepimpinan UiTM berkata pihak berkenaan juga tidak seharusnya meyangkal keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja memandangkan ia ditubuhkan atas permintaan mereka.

“Suruhanjaya ini ditubuhkan atas permintaan keluarga, badan bukan kerajaan, peguam dan Majlis Peguam sendiri dan kerajaan telah beri pertimbangan yang amat prihatin mengenai isu berkenaan.

“Anggotanya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) terdiri daripada mereka berpengalaman luas serta pakar dalam bidang tertentu. Jadi mereka tidak boleh menyangkal dan perlu terima hakikat,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments