Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Mahkamah benar Bersih 2.0 cabar perintah isytihar ianya haram

September 28, 2011

Hakim Datuk Rohana Yusuf membenarkan permohonan jawatankuasa pemandu gerakan itu bagi semakan kehakiman untuk membatalkan perintah berkenaan.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa pemandu kumpulan dikenali Bersih 2.0 hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar perintah bahawa kumpulan itu adalah sebuah pergerakan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusuf, yang membuat keputusan itu di dalam kamar, membenarkan permohonan jawatankuasa pemandu gerakan itu bagi semakan kehakiman untuk membatalkan perintah berkenaan.

Mahkamah menetapkan 22 Nov untuk mendengar merit bagi semakan kehakiman.

Pada 8 Julai, 14 anggota jawatankuasa pemandu pergerakan itu termasuk Datuk S. Ambiga mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Kesemua anggota berkenaan antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai yang mengisytiharkan gerakan Bersih sebagai pertubuhan haram dan memerintahkan pembatalannya berkuatkuasa serta merta.

Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Ambiga, yang merupakan peguam mewakili jawatankuasa pemandu itu, memberitahu pemberita bahawa hakim membenarkan permohonan mereka berkaitan membatalkan keputusan dan pengisytiharan perintah itu batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, kata Ambiga hakim menolak permohonan mereka bagi menghalang responden daripada memasuki dan memeriksa premis mereka serta perintah bagi mengarahkan responden menyerahkan baju-t, kain rentang, surat khabar, buku-buku, sepanduk dan sebarang dokumen atau objek milik mereka yang dirampas polis.

Ambiga berkata beliau gembira dengan perintah itu memandangkan ia penting kerana berkaitan dengan perintah eksekutif.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said yang mewakili responden berkata beliau akan mendapatkan arahan pihak atasannya sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments