Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Adun Bentayan mengaku ditawar habuan lompat parti

 | October 1, 2011

Habuan itu meliputi wang RM150, 000, 50 ekar tanah, elauan lebih RM5, 000 sebulan serta skuad khas menyelesaikan masalah di Dun berkenaan.

FULL REPORT

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Johor  Gwee Tong Hiang hari ini mengaku ditawarkan habuan lumayan jika lompat keluar daripada parti DAP dan menjadi wakil rakyat bebas.

Habuan itu meliputi ganjaran  sejumlah RM150,000, pemberian 50 ekar tanah,  elaun tambahan melebihi RM5,000 sebulan serta skuad khas bagi membantu menyelesaikan masalah kawasan Bentayan termasuk isu majlis perbandaran dan agihan tanah.

Semua tawaran ini dijanjikan hanya jika selepas beliau bersetuju untuk keluar DAP dan mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas, serta bertanding menentang DAP dalam pilihan paya umum akan datang (PRU13).

Dalam pendedahannya itu, Gwee berkata beliau dihubungi seorang lelaki pada Selasa lalu yang memperkenalkan diri sebagai Wee Pao Chin daripada Persatuan Berketurunan Wee Bersekutu Johor Bahru menyatakan hasrat ingin membantunya menguruskan Pejabat Pusat Khidmat Bentayan.

Pertemuan kemudiannya berlaku disebuah restoran di Muar pada malam keesokannya antara Gwee serta isteri dengan Wee dan seorang lelaki berbincang mengenai tawaran tersebut.

Gwee mendakwa, Wee juga mahu menghadiahkannya dua buah ‘angpau’ besar selepas selesai pertemuan makan malam itu namun beliau menolak.

“Beliau kata kepada saya ‘jangan risau’ dan meyakinkan wang ditawarkan itu semuanya datang daripada kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Perbualan telefon

Lelaki itu yang dikenali sebagai Rahim diperkenalkan sebagai pembantu politik di Pejabat Perdana Menteri, manakala Wee mendakwa dirinya bekerja di Felda Plantation, selain membantu Perdana Menteri menyelesaikan krisis politik dan ekonomi masyarakat Cina di Johor.

Wee yang sempat dirakam perbualannya melalui telefon semalam juga berjanji untuk berjumpa Gwee sekali lagi di sini pada hujung minggu ini sebelum dibawa berjumpa Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin depan untuk berbincang lanjut.

Melalui perbualan itu juga, Wee menawarkan Gwee jaminan keselamatan dengan bantuan Cawangan Khas (SB) termasuk menawarkan pengawal keselamatan peribadi untuk ‘menjaga’ Gwee sekeluarga daripada sebarang ancaman.

Merasakan dirinya masih mempunyai integriti, Gwee kemudiannya melaporkan insiden itu kepada pemimpin tertinggi DAP bagi mendapatkan bantuan nasihat.

Katanya, tawaran itu berkemungkinan datang selepas dirinya digantung selama enam bulan kerana melanggar disiplin parti yang berkuatkuasa 23 September lalu.

“Saya rasa bodoh dan bosan (dengan tawaran itu). Saya masih Adun DAP. Saya hendak beritahu Barisan Nasional (BN) tak semua Adun dan Ahli Parlimen  DAP boleh dibeli,” katanya yang kelihatan menitiskan air mata.

“Saya sayang parti saya. Parti saya hanya DAP,” katanya.

Buat laporan polis dan SPRM

Sementara itu, Setiuasaha Publisiti DAP Tony Pua berkata pihaknya akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana wujud unsur penyelewengan untuk memujuk wakil rakyat lompat parti dan isytihar diri sebagai Bebas.

“Kita ada bukti identiti diri individu terbabit, rakaman perbualan yang sempat direkodkan,” katanya.

Sehubungan itu, Tony mensedak Najib segera menafikan jika beliau ada kaitan dengan insiden ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit yang mengaku mempunyai kaitan dengan Pejabat Perdana Menteri.

“Kami berbangga dengan Gwee kerana beliau tak macam wakil rakyat lain yang sanggup lompat demi wang,” katanya.

Difahamkan,Persatuan Berketurunan Wee Bersekutu Johor Bahru merupakan persatuan bagi ahli-ahli perniagaan termasuk Datuk Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai berkata pihaknya akan bermesyuarat pada minggu depan bagi berbincang dan memutuskan kedudukan Gwee selepas ini.

“Sama ada untuk mengurangkan tempoh penggantungan Gwee atau tidak, pemimpin tertinggi akan memutuskannya selepas mesyuarat pada 7 Oktober depan.

“Penduduk Bentayan sepatutnya berbangga dengan wakil rakyat mereka yang tidak mengkhianati amanah rakyat semata-mata demi wang.

“Kalau tak, sudah tentu beliau akan jadi jutawan dengan 50 ekar tanah itu,” katanya berseloroh.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments