Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

‘Jangan pesong aqidah umat Islam’

 | October 10, 2011

Merujuk kepada siasatan pihak Jais terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam, titah Sultan Selangor.

PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah  menasihat semua pihak agar memelihara hak dan agama masing-masing dan pada masa sama, memberi amaran supaya jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.

“Merujuk kepada siasatan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam. Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.

“Oleh itu, setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak Jais dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak,” titah baginda dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun Beta menitahkan Jais memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.

“Beta juga menitahkan Jais supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.

Sultan Selangor bertitah, tindakan Jais tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara

Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.

“Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain.

Ambil kesempatan

“Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam,” titah baginda.

Titah baginda lagi, “ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

“Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.

“Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, “Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan

segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.

“Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini.

“Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bagi,” titah baginda.

Pada 3 Ogos lalu, Bahagian Penguatkuasaan, Jais telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis ‘Thanksgiving Dinner’ di Gereja Methodist Damansara Utama, Seksyen 13, Petaling Jaya kerana disyaki usaha memurtadkan orang Islam sedang dijalankan.

Turut baca:

Menteri Besar hormati titah Sultan Selangor


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments