Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Tingkat pendapatan dengan tanaman getah

 | October 12, 2011

Kerajaan yakin tanaman getah mampu meningkatkan taraf pendapatan penduduk yang berpendapatan rendah di luar bandar.

MIRI: Kerajaan bercadang untuk memperluaskan kawasan penanaman getah kepada 250,000 hektar di Sarawak menjelang 2020, sekali gus dijangka mampu meningkatkan taraf pendapatan lebih 350,000 penduduk luar bandar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata, apabila sasaran tersebut telah dicapai kelak, ia secara tidak langsung mampu mengatasi masalah kira-kira 50 peratus atau 1.2 juta penduduk di luar bandar yang berpendapatan rendah pada masa ini.

Katanya, usaha untuk menggalakkan penduduk dari setiap bahagian di negeri ini untuk melibatkan diri dalam kegiatan menanam getah telah pun dilaksanakan dengan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM53 juta dibawah Program Transformasi Ekonomi (NKEA) bagi melaksanakan penanaman getah di tanah seluas 10,000 hektar menjelang 2012.

“Hasil dari pemerhatian dan perbincangan selama ini kerajaan yakin tanaman getah mampu meningkatkan taraf pendapatan penduduk yang berpendapatan rendah di luar bandar selari dengan hasrat kita untuk mencapai sasaran penduduk berpendapatan tinggi.

“Saya yakin dengan adanya kemudahan infrastruktur dan logistik kita boleh mencapai sasaran seperti yang diharapkan (250,000 hektar kawasan tanaman getah),” katanya.

Jabu yang juga Menteri Permodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika merasmikan Makmal NKEA Getah di salah sebuah hotel terkemuka di sini.

Tanaman berkelompok

Selain daripada usaha menggalakan penduduk menanam getah di semua bahagian di negeri ini, Jabu juga memberitahu, beberapa kawasan telah dikenalpasti sebagai tempat penanaman secara berkelompok iaitu di kawasan pertanian Gunung Sadok (merangkumi tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri seperti Sarikei, Sri Aman, Betong, Julau, Telang Usan di Miri dan di Katibas, Kapit).

Jabu menjelaskan, untuk mencapai hasrat memperluaskan tanaman getah di negeri ini juga, kerajaan akan dibantu oleh Jabatan Pertanian yang akan merancang serta mengendalikan segala proses penanaman getah baru.

Manakala bagi proses penanaman semula getah penduduk yang telah lama atau tidak produktif dan menggantikannya dengan getah klon baru yang berkualiti, ia adalah tugas pihak Lembaga Pembangunan Penanam Kecil Getah (Risda), katanya.

“Getah yang akan kita tanam hasil daripada program ini hanya kemungkinan dapat ditoreh selepas 2025.

“Oleh itu, hasilnya dan harapan kita untuk membantu penduduk di luar bandar yang berpendapatan rendah dengan menanam getah untuk meningkatkan taraf pendapatan mereka akan hanya dapat memberikan kesan yang paling ketara selepas itu kelak,” katanya.

Mengulas isu, harga getah yang kurang stabil sebelum ini Jabu memberitahu, isu tersebut diyakini tidak akan timbul lagi selepas ini ekoran kementeriannya dan kerajaan amnya telah melatih usahawan-usahawan tempatan untuk membeli getah dari pekebun-pekebun kecil di luar bandar dan akan dieksport terus ke Negara China yang menjadi pengimport utama hasil getah di negeri ini.

Makmal NKEA Getah selama lima hari dan bermula hari ini dihadiri oleh lebih daripada 30 pegawai serta kakitangan kerajaan untuk menggubal pelan tindakan menyeluruh bagi melaksanakan penanaman getah di Sarawak.

Selepas majlis terbabit, Jabu turut melepaskan Penghantaran Input 1AZAM kepada sebanyak 18 kawasan di Ulu Baram. Barang yang dihantar dengan menggunakan dua buah lori berkenaan termasuklah anak getah, baja dan peralatan untuk bercucuk tanam.

Turut hadir, Menteri Muda Pertanian, Penyelidikan dan Pemasaran Datuk Mong Dagang, Adun Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Petanian Datu Dr Ngenangan ak Jangu, Pengarah Pertanian Lai Kui Fong dan para peserta makmal.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments