Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Warga asing bakal usahawan negara?

 | October 15, 2011

"Alasan yang dikemukakan oleh OCPD Serdang sungguh tidak masuk akal. Warga asing diberi kursus keusahawanan?," soal Nasrudin.

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang kali menafikan bahawa wujudnya nama pemilih yang bertindih, pemilih yang tidak dikenal pasti dan pelbagai lagi kekeliruan seperti mempunyai kad pengenalan (IC) yang hampir sama dalam keadaan yang sangat meragukan.

Tetapi beberapa hari selepas penafian dilakukan, 50,000 nama dikeluarkan dari senarai pemilih sedangkan peraturan yang ada menyebut nama pemilih hanya boleh dikeluarkan apabila ianya dibantah dengan bayaran dan bantahan itu diterima.

Menurut Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi, terbaru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula dijangkiti sindrom penafian apabila OCPD Serdang Superitenden Imran Abdul Rahman menafikan sindiket penganugerahan IC kepada 240 warga asing dari Johor.

Beliau memberi alasan kononnya mereka dibawa ke Selangor untuk mengikuti Kursus Keusahawanan, sedangkan mereka telah berjaya dikesan dan dikepung oleh Pemuda PAS dan akhirnya mereka terpaksa bersidai di Istana Dugang Country Resort, katanya.

Nasrudin menegaskan setelah rakyat menyaksikan rendahnya tahap integriti Pengarah SPR dan Timbalannya, kini pihak PDRM pula merosakkan reputasi pihak keselamatan yang sepatut dan selayaknya menjaga kedaulatan dan keamanan negara bukan bersubahat dengan sindiket yang mengancam kedaulatan.

“Alasan yang dikemukakan oleh OCPD Serdang sungguh tidak masuk akal. Warga asing diberi kursus keusahawanan? Inilah kali pertama saya mendengar dan melihatnya.

“Tapi dengan semangat Malaysia boleh, barangkali semua boleh berlaku. Asal mereka boleh buat penafian, mereka nafi walaupun dengan alasan yang mempersenda nilai intelek rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menyoal, “kursus usahawan jenis apa ni, penuh dengan kawalan ketat pihak polis? ┬áKursus usahawan atom ke atau kursus usahawan untuk melahirkan pengusaha-pengusaha baru bagi memenangkan Umno dalam pilihan raya umum akan datang?”

Mutaakhir ini katanya, DPPM melalui Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat yang dipengerusikan oleh Suhaizan Kaiat bersama Timbalannya Mohd Adram Musa, banyak membuat pendedahan berkait penyelewengan dan kepincangan sistem urus demokrasi serta sistem pengendalian pilihan raya.

Pendedahan tersebut dituruti dengan penyerahan memorandum kepada pihak berwajib seperti SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara malahan laporan polis turut dilakukan.

Di Hotel Vistana Kuantan pada 28 September, satu Kursus Pemantapan Warga Pendidik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia diadakan bagi mengelabui pandangan umum sedang pengisiannya adalah untuk doktrin pemikiran para pendidik atau guru agar menyokong Umno dengan pelbagai maklumat salah, fitnah dan palsu yang disogok.

Sebelum ini, negara gempar dengan kenyataan Parlimen Malaysia bahawa terdapat 27,293 warga asing telah dilulus menjadi warganegara, hanya dalam tempoh tidak sampai empat tahun (2008 – 2011).


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments