Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

PPSMI: PAGE rayu PM campur tangan

 | October 31, 2011

Kajian itu menunjukkan 66 peratus ibu bapa merasakan PPSMI adalah dasar yang baik untuk menentukan masa depan anak mereka.

PETALING JAYA: Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam isu pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim mempertahankan kajian yang dibuat oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan mengatakan bahawa 79 peratus pelajar dan 55 peratus ibu bapa di luar bandar mahu PPSMI diteruskan.

Menurut beliau, kajian itu menunjukkan 66 peratus ibu bapa merasakan PPSMI adalah dasar yang baik untuk menentukan masa depan anak mereka.

Noor Azimah menggesa agar kerajaan menarik balik keputusan pemansuhan PPSMI memandangkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan PPSMI sebagai satu dasar yang baik untuk pelajar di bandar mahupun luar bandar.

Beliau yang dihubungi FMT berkata memorandum itu juga akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala.

“Kita memohon dan terus merayu kepada Perdana Menteri agar mempertimbangkan kembali keputusan yang telah diputuskan. Kita akan menunggu maklum balas tersebut sekembalinya beliau dari Mekah.

“Ibu bapa masih berharap kerajaan akan meneruskan dasar PPSMI diteruskan di sekolah bagi membolehkan anak mereka bersaing di peringkat global.

“Tolonglah jangan mengusung isu PPSMI ini digelanggang ‘tarik tali’ politik…..nahaslah peluang anak kita yang sekadar mahukan sistem pengajaran terbaik dalam sistem pendidikan di negara ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

Muhyiddin pada Sabtu lalu berkata berkata sistem pendidikan negara ini akan kucar-kacir jika kerajaan membenarkan pemilihan bahasa pengantar sama ada Bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris maka pemansuhan PPSMI ini harus dihormati dan diterima baik oleh semua pihak.

Tiada demo jalanan

Noor Azimah turut menafikan bahawa demonstrasi jalanan dirancang sekiranya keputusan tersebut tidak memihak kepada mereka.

Katanya, walaupun ini pendekatan terakhir dengan bertemu Perdana Menteri, namun kumpulan ibu bapa ini tiada sebarang kepentingan politik sehingga membawa hal itu kepada satu demonstrasi jalanan.

“Setakat ini tiada sebarang demonstrasi jalanan akan diadakan. Kita ibu bapa masih ikut undang-undang dan kami tiada sebarang kepentingan politik. Namun usaha dan hasrat kami agar Perdana Menteri segera menyelesaikan hal ini sebelum terlambat.

“Akan tetapi jika pemimpin politik mahu menyatakan pendirian menyokong, kami tiada halangan. Malah pandangan saya sebelum ini bahawa undi kami akan beralih kepada pembangkang bukannya ugutan. Tapi ia sebagai peringatan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Noor Azimah berkata setakat hari ini PAGE menerima sokongan lebih daripada 104,000 orang dalam laman sosial facebook.

Ujar beliau, pelbagai pendekatan yang diutarakan oleh ibu bapa yang menyokong pembelajaran menggunakan Bahasa Inggeris seperti contoh petisyen melalui portal PAGE yang kini mencecah 40,000 orang.

“PM juga perlu pertimbangkan sokongan ibu bapa ke atas kajian JMM dengan 27,000 menyokong malah melalui blog chedet menerima sokongan daripada 86,000 orang,” jelasnya.

Katanya, satu perkelahan keluarga akan diadakan di beberapa negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur agar ibu bapa dan anak-anak diberi peluang memberikan pandangan berhubung isu ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments