Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Kaji secara holistik sebelum pinda AUKU

November 5, 2011

Sebarang pindaan atau pemansuhan sesuatu akta atau dasar, harus melalui tiga elemen penting iaitu pembangunan (pendidikan, ekonomi, politik), keselamatan dan pertahanan negara.

KUALA LUMPUR: Sebarang usaha meminda atau memansuhkan Seksyen 15(5)a Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 harus dikaji secara holistik bagi memastikan mahasiswa tidak terpesong daripada tanggungjawab mereka sebagai pelajar, kata beberapa penganalisis.

Menurut mereka, perbahasan yang dilakukan sebelum ini hanya berkisar kepada impak terhadap pelajar, namun perspektif daripada ibubapa, penaja pinjaman dan biasiswa, kerajaan dan masyarakat juga harus diperhalusi dengan sewajarnya.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Mohamad Faisol Keling, berkata sebarang pindaan atau pemansuhan sesuatu akta atau dasar, harus melalui tiga elemen penting iaitu pembangunan (pendidikan, ekonomi, politik), keselamatan dan pertahanan negara.

“Seandainya kerajaan merasakan pindaan seksyen ini mampu memberi kesan positif tanpa menjejaskan mana-mana elemen tersebut, maka tidak ada salahnya ia diteruskan, namun harus dibuat pantauan secara berterusan.

“Jadi sebelum sebarang usaha dilakukan, adalah lebih wajar sekiranya semua pihak dan kerajaan sendiri menilai dengan terperinci, bukannya tunduk pada desakan pihak-pihak tertentu tanpa mengambil kira kesan secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Mohamad Faisol, terdapat kebimbangan sekiranya kebebasan mahasiswa berpolitik akan dieksploitasi golongan tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri.

“Mahasiswa mungkin bersemangat tinggi tetapi yang menjadi persoalan adakah mereka sudah mencapai tahap kematangan yang diperlukan sebelum mencebur diri dalam bidang ini, dan apakah jaminan bahawa mereka tidak akan dieksploitasi atau dipergunakan oleh pihak-pihak berkepentingan ini?” katanya.

Sebelum ini, timbul desakan daripada segelintir pihak agar seksyen berkenaan dimansuhkan bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bergiat aktif dalam arena politik, malahan ia turut diperjuangkan lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya

Pada Isnin lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Low Hop Bing itu memutuskan seksyen itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Pertimbangan adil

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Prof Dr Nasruddin Mohammed berkata, pertimbangan yang adil perlu dibuat bagi memastikan kepentingan semua pihak terjaga, termasuk pelajar, penaja dan masyarakat secara umumnya.

“Kita cakap tentang potensi pelajar untuk lebih aktif dalam politik… potensi ini hanya spekulasi, bila akta dipinda, dimansuhkan, kita nampak perkara baik, pelajar akan aktif, tetapi itu semua hanya sekadar spekulasi.

“Tapi bagaimana tentang spekulasi pihak lain, ibu bapa misalnya, kita juga akan berasa risau. Bagi saya tujuan pelajar di universiti khusus untuk menimba pengetahuan, ilmu baru, jadi soal berpolitik boleh datang kemudian, hal-hal politik seharusnya jadi fungsi parti-parti politik,” katanya.

Bagaimanapun, Nasruddin tidak menolak cadangan jika kebebasan berpolitik diwartakan kepada mahasiswa yang memasuki tahun akhir ataupun berusia 21 tahun ke atas kerana umur itu melayakkan mereka menjadi pengundi yang sah mengikut perlembagaan.

Pesyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berpendapat, adalah menjadi satu kerugian sekiranya pelajar yang berpotensi, menghabiskan masa berpolitik sehingga menjejas masa depannya.

Beliau berkata senario masa kini membuktikan pelajar yang terlibat dalam politik akan cenderung menghabiskan masa dalam perkara itu, dan jika tidak diberi perhatian serius, akan menjejaskan masa belajar sedangkan itu tanggungjawab dan keutamaan sebenar.

“Mereka harus tahu tujuan asal masuk universiti. Kalau aktif sangat, takbaik untuk pelajar, sama ada dalam politik mahupun kegiatan kokurikulum sekali pun.

“Universiti diberi tanggungjawab mendidik pelajar, sekiranya kebebasan diberikan luas kepada pelajar, kita tak ada peluang untuk didik mereka, dan apa gunanya kita keluarkan produk yang pandai cakap tanpa ilmu?” katanya.

Shamrahayu berkata sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar berkenaan, malahan ia akan melibatkan reputasi universiti dan kerajaan, seterusnya menjadi kerugian besar kepada masyarakat.

Beliau turut melahirkan rasa bimbangnya bahawa mahasiswa boleh diperalatkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu kerana faktor usia muda mereka yang mudah dipengaruhi.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments