Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Isu daftar anak luar nikah keliru masyarakat

 | November 9, 2011

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkata adalah jelas dalam hukum syarak tidak membenarkan anak tidak sah taraf di 'bin' atau 'binti' selain daripada ibunya.

PETALING JAYA: Isu pendaftaran anak tidak sah taraf atau luar nikah di ’bin’ atau binti’ selain ibunya dalam sijil kelahiran mendapat bantahan Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang menyifatkan tindakan itu hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

Presidennya Mohd Isa Abd Ralip berkata isu itu hanya akan mengelirukan masyarakat Islam dan menjejaskan kehidupan seharian mereka secara umum.

Ketika dihubungi FMT beliau berkata, adalah jelas dalam hukum syarak tidak membenarkan anak tidak sah taraf di bin atau binti selain daripada ibunya.

“Saya tidak setuju dengan cadangan tersebut membenarkan anak tidak sah taraf di bin atau binti dengan bapanya untuk mengelak kanak-kanak terbabit menghadapi trauma atau tekanan perasaan semasa bersekolah walaupun dari satu segi ia menyelesaikan masalah kanak-kanak tersebut.

“Namun pada umumnya ia akan mengelirukan masyarakat dan menyebabkan masalah lain timbul kerana ia bertentangan dengan hukum syarak sedia ada. Dalam hukum syarak larangan Allah SWT untuk di bin atau binti anak tidak sah taraf, selain ibunya.

“Jika terus dilakukan, langkah ini akan memberi kesan kepada masyarakat kerana mereka tidak akan takut atau bimbang untuk melahirkan anak haram.

“Kita tidak mahu pandangan sebegitu. Nanti masyarakat tiada kesedaran. Saya membantah kerana ia boleh menyebabkan anak menjadi keliru juga,” katanya.

Implikasi negatif

Ujarnya, implikasi negatif lain yang timbul ialah apabila membabitkan soal pewarisan, keturunan, aurat dan sebagainya.

Mohd Isa menjelaskan kemudaratan atau kesan negatif yang akan diperoleh bila dibenarkan di bin dan binti seperti anak kandung.

“Sebagai contoh katanya, jika Ahmad seorang anak tidak sah taraf dan ayahnya sudah meninggal dunia dan mempunyai dua orang anak lain. Walaupun Ahmad lebih tua daripada dua beradiknya lain dan dianggap anak sulung, beliau tidak boleh menerima waris dan tiada hak kerana tiada pertalian darah.

“Anak tidak sah taraf ini tidak mempunyai hak yang sama dari sudut perundangan dan hukum syarak. Dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah,” jelasnya.

Mohd Isa berpendapat isu tersebut tidak perlu dipanjangkan memandangkan ia merupakan perselisihan pandangan semata-mata.

Katanya, cadangan itu hanya sebagai alternatif untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak menanggung bebanan emosi dan terhukum kerana kesalahan ibu bapa mereka.

Malah jika fatwa berkenaan dilulus dan diterima oleh negeri-negeri maka pindaan undang-undang juga perlu dilakukan. Isu anak tidak sah taraf hangat dibincangkan apabila kerajaan negeri Terengganu mencadangkan agar anak-anak sebegini didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak itu menanggung tekanan emosi berpanjangan.

Malah satu kertas kerja itu dibuat bertujuan untuk memasukkan maklumat berkenaan adalah untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada bayi sekiranya bapa adalah warganegara Malaysia.

Kertas cadangan tersebut juga akan diserahkan kepada Majlis Fatwa Negeri untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tidak lama lagi.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments