Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Projek LPT2 lambat siap, kos meningkat

 | November 17, 2011

NGO Jingga 13 lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai masalah projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

PETALING JAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang siap tidak ikut tarikh dan melebihi kos asal.

Projek LPT2 dari Jabor di Kemaman ke Kuala Terengganu dijanjikan kepada rakyat Terengganu semasa pilihan raya umum 2004, asalnya mula dibina pada tahun 2007 dan dijangka siap pada 2010.

Malah kos asal pembinaan sebanyak RM3 bilion yang diperuntukkan kini sudah meningkat sehingga RM5 bilion tetapi sehingga kini masih gagal beroperasi mengikut jadual.

Ketua Koordinator Jingga 13 Fariz Musa dalam laporannya berkata projek ini dibiayai melalui dana khas yang diperoleh daripada wang royalti petroleum dan hanya sebahagian kecil pengurusan dibayar oleh Kerajaan Pusat.

Sekaligus menjadikan hampir keseluruhan kos pembinaan LPT2 ini dibiayai oleh wang rakyat Terengganu, katanya.

“Setelah siap projek ini akan di serah kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan bukannya kepada kerajaan negeri Terengganu.

“Ini bermakna Terengganu hanya sediakan tanah dan menanggung kos pembinaannya tetapi tidak akan memiliki lebuhraya ini.

“Siapakah yang akan mengendalikan kutipan tol? Siapakah yang akan memperolehi hasil kutipan tol tersebut?,” soalnya.

Laporan itu diserahkan kepada SPRM Kuala Terengganu kira-kira pukul 11 pagi tadi melalui pegawai penyiasat Syukri Mustafa.

Turut hadir Ketua Cabang Dungun Abdul Rahman Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas Salleh Embong dan Naib Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu Sulong Ali.

Selain itu, masalah di beberapa sektor dalam projek LPT2 turut dikemukakan kepada SPRM, antaranya pembinaan jambatan Sungai Bagus di Bandar Baru Kerteh yang dibina atas daratan namun dan tidak melintasi anak Sungai Bagus.

Fariz berkata pihaknya difahamkan masalah timbul apabila kontraktor TSR Construction Sdn Bhd terpaksa mengalihkan anak sungai ke bawah jambatan tanpa merujuk kepada Jabatan Parit dan Sungai (JPS) selain mengalami masalah proses tender.

Akibatnya, kos pembinaan jambatan ini meningkat daripada RM174 juta kepada RM210 juta. Selain itu, isu pemberian tender kepada kontraktor ahli Umno Bahagian Hulu Terengganu yang didakwa bermasalah namun masih menerima wang pendahuluan sebanyak RM20 juta dalam projek ini turut dipersoalkan.

“Kami memohon agar SPRM menyiasat secara terperinci terhadap projek LPT2 tersebut termasuk semua pihak yang terlibat iaitu

kerajaan negeri Terengganu, Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, kontraktor serta semua pihak yang bertanggungjawab .

“Kami juga memohon SPRM atas rasa tanggungjawab dan keperihatinan terhadap wang rakyat yang diseleweng sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah serta mengkhianati rakyat negeri Terengganu supaya menyiasat dan mendakwa para penjenayah ini ke muka pengadilan,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments