Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Cerita klasik China

 | January 6, 2012

ULASAN BUKU: Peluang membaca cerita klasik membuka ruang mengenali budaya dan kehebatan tamadun dunia.

ULASAN BUKU

Cerita-cerita klasik dan cerita rakyat dari seluruh dunia menjadi kegemaran saya sejak kecil. Buku-buku sedemikian yang terdapat di perpustakaan SRK Convent Aulong dan SM Darul Ridwan, Taiping sering saya pinjam dan baca.

Minat dan keinginan yang sama masih saya rasai apabila berpeluang memiliki dan membaca lapan buku dalam Siri Cerita Klasik China (2009) terbitan One Nusantara Sdn Bhd.

Bagi saya, membaca cerita klasik/rakyat dari tamadun besar seperti China, India dan Eropah memberi ruang dan peluang untuk memahami pemikiran dan kehebatan tamadun-tamadun berkenaan.

Malah, hasil penelitian, kita akan mendapati serta menyedari betapa ada banyak persamaan dari aspek nilai, moral, pengajaran, pemikiran, falsafah dan pengalaman kolektif yang dikongsi tamadun-tamadun besar ini sejak zaman berzaman.

Kehebatan tamadun China pula disampaikan secara penuh berseni menerusi lapan buku ini yang dipersembahkan khusus bagi khalayak pembaca kanak-kanak dan awal remaja.

Hasil pembacaan, saya menyedari betapa Dr Chong Fah Hing selaku penyelenggara sangat prihatin dan teliti dalam memastikan kesemua cerita klasik/rakyat yang disajikan menerusi buku-buku ini sesuai bagi bacaan kanak-kanak pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia.

Perlu dinyatakan bahawa cerita-cerita ini bukan terjemahan; sebaliknya diceritakan semula, diolah secara bebas, diadaptasi, dimurnikan serta disesuaikan dengan khalayak sasaran.

Mitos China Purbakala Jilid 1 dan Jilid 2 membantu kita memahami pandangan dunia masyarakat China/Cina mengenai alam semesta dan alam semula jadi.

Kisah bidalan, peribahasa dan perumpamaan yang penuh dengan nasihat serta menampilkan watak manusia dan binatang pula boleh dinikmati dalam Alegori Klasik China Jilid 1 dan Jilid 2.

Sebagaimana kisah dewa-dewi, kayangan dan bidadari ditemui dalam tamadun besar dunia, begitu juga di China. Sebahagian daripadanya disampaikan dengan bahasa mudah menerusi Cetera Dewa-Dewi berdasarkan teks asal oleh Chen Zhonglin.

Himpunan Cerita Pelik-pelik dan Kisah Ajaib Alam Fantasi juga pasti menarik minat pembaca pelbagai umur; sekali gus membantu usaha memahami budaya, kepercayaan dan amalan hidup masyarakat Cina sejak turun-temurun.

Sebuah lagi buku dalam siri ini ialah Pengembaraan ke Dunia Barat yang diceritakan semula oleh Dr Goh Sang Seong berdasarkan teks klasik Xi You Ji oleh Wu Cheng’en.

Pasti kisah Raja Kera Sakti dalam hikayat klasik itu mampu menghiburkan selain membantu pembaca membandingkannya dengan watak Hanuman dalam Ramayana, Hikayat Seri Rama, Ramakien serta pelbagai teks klasik lain yang terdapat di beberapa negara seluruh dunia.

Mungkin ada cerita dalam siri ini yang sudah pernah dibaca, didengar atau ditonton di televisyen. Bagaimanapun, tentu sahaja sangat istimewa apabila kisah-kisah klasik itu disajikan semula menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah dan menarik.

Ilustrasi cantik serta ruangan “Marilah belajar kata nama” dalam Bahasa Mandarin turut menjadikan Siri Cerita Klasik China pilihan bijak sebagai hadiah kepada kanak-kanak supaya generasi muda ini akan menjadikan buku sebagai teman sepanjang hayat.

Uthaya Sankar SB pernah menghasilkan kumpulan cerita rakyat India berjudul “Nari! Nari!” (1995) dan “Munis Dengan Harimau” (1996).


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments