Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

AUKU-KUIN: ‘Mereka tidak faham isu sebenar’

 | January 31, 2012

Menurut beliau penubuhan KUIN adalah berasaskan undang-undang dan ini termasuklah dengan AUKU.

PETALING JAYA: Exco Kerajaan Negeri Kedah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul hari ini menegaskan tindakan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ke atas mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) adalah selaras dengan undang-undang sedia ada.

Menurut beliau penubuhan KUIN adalah berasaskan undang-undang dan ini termasuklah dengan AUKU.

Mohamed Taulan yang merupakan exco Agama, Pelajaran dan Koperasi ketika dihubungi FMT berkata tidak timbul isu untuk mendesak Azizan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Malah beliau turut menyifatkan tindakan sedemikian adalah tidak wajar untuk pihak luar campur tangan dalam soal pentadbiran negeri dan KUIN.

“Penubuhan KUIN berasaskan undang-undang termasuklah AUKU. Ia undang-undang yang sedia yang sudah digunapakai, dan masa itu PAS bukan kerajaan. Barisan Nasional sudah menerima undang-undang itu dan mereka yang mengawal universiti tersebut.

“Orang tidak faham isu sebenar, sedangkan sepatutnya mereka patut kaji mengapa tindakan sedemikian diambil oleh Menteri Besar,” katanya.

Azizan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk dipecat berikutan tindakan penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengikut AUKU sehingga mencetuskan kontroversi dalam Pakatan Rakyat.

Gerakan jatuhkan Azizan?

Beberapa pimpinan Pakatan termasuk Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari mahu Pakatan mengambil tindakan ke atas Azizan yang juga Pengerusi KUIN berhubung penggantungan lima mahasiswa universiti itu pada April lalu.

Tindakan itu katanya kerana mendakwa Menteri Besar itu menyokong kewujudan AUKU, sedangkan manifesto Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga menjanjikan mereka untuk menghapuskan akta berkenaan.

Ketika ditanya jika wujud sebarang gerakan untuk menjatuhkan Azizan, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu.

Sebaliknya, berkata isu AUKU dan KUIN ini sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

Sementara itu, Mohamed Taulan menjelaskan pentadbiran kerajaan negeri bersikap toleransi ke atas lima mahasiswa terbabit dengan membenarkan mereka mengambil peperiksaan seperti biasa.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap mahasiswa terbabit yang meneruskan tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri.

“Kita panggil mereka untuk siasatan dan ambil tindakan tatatertib.Tapi kami bagi mereka merayu dan benarkan mereka mengambil peperiksaan. Penasihat undang-undang kerajaan negeri dan bincang dengan pelajar dan setuju tiada tindakan undang-undang akan diambil.

Tiba-tiba mereka masih meneruskan tindakan undang-undang tersebut,” katanya yang juga Adun PAS Tokai.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments