Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

MTUC bimbang perjanjian FTA jejaskan pekerja

 | February 3, 2012

Presiden Khalid Atan berkata FTA tidak menggalakkan perniagaan dua hala tetapi lebih bersifat 'perangkap' untuk mengheret negara membangun seperti Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bimbang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia serta Trans Pacific Partnership (TPP) dengan Amerika Syarikat akan menjejaskan pekerja dalam pelbagai sektor industri dan ekonomi tempatan.

Presiden MTUC Khalid Atan berkata FTA, suatu usaha perjanjian persefahaman perniagaan pemodal EU dan Amerika untuk mengembangkan perniagaan mereka ke Asia sebenarnya tidak menggalakkan perniagaan dua hala.

Tetapi lebih kepada ‘perangkap’ untuk mengheret negara membangun seperti Malaysia untuk mengikuti terma perniagaan demi kepentingan kuasa besar.

Menurut Khalid, antara perkara yang membimbangkan adalah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bakal terjejas kerana melalui perjanjian
itu, tarif produk import daripada EU dan Amerika yang masuk ke Malaysia akan diturunkan sehingga 0% sekaligus memberi persaingan
hebat kepada produk tempatan.

IKS tempatan tidak mampu bersaing

Lebih membimbangkan, katanya situasi ini akan membawa kepada pengangguran pekerja tempatan kerana IKS tidak mampu bersaing dengan produk import.

“IKS dan industri tempatan tidak mungkin bersedia menangani persaingan ini kerana sebaik sahaja perjanjian FTA berkuatkuasa, maka pasaran Malaysia terbuka luas untuk kemasukan produk EU dan Amerika,” katanya dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Katanya, rundingan FTA antara Malaysia dengan EU dan Amerika kini di peringkat akhir dan Kabinet dijangka akan menandatanganinya pada hujung tahun ini.

Selain itu, sektor pertanian turut berhadapan risiko yang sama apabila ayam dan beras yang dieksport ke Malaysia dikenakan cukai yang rendah sekaligus menjejaskan penternak tempatan.

“Di Ghana apabila cukai ayam import dari EU dihapuskan, maka peratus ‘market share’ penternak tempatan Ghana berkurang dari 95% ke 11% sahaja.

“Akibatnya industri ternakan ayam mereka terjejas dan ramai pekerja terpaksa dihentikan,” katanya.

Kesan negatif

Khalid juga mendakwa FTA akan menetapkan syarat selepas ia ditandatangani Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan
Tempatan tidak boleh memperkenalkan apa jua syarat atau undang-undang baru yang dianggap akan mengurangkan keuntungan atau keupayaan pelabur itu menghasilkan untung pada masa depan.

“Maksudnya jika perjanjian ini ditandatangani, maka pelabur tersebut tidak boleh dipaksa melaksanakan gaji minima walaupun kerajaan ingin menguatkuasakannya.

“Pelabur boleh mengugut kerajaan dengan membawa pertikaian ini ke Mahkamah Antarabangsa dan berhujah bahawa pelaksanaan gaji minima akan mengurangkan kadar keuntungannya kerana mengharapkan kos buruh murah di Malaysia,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Khalid dalam memorandumnya memohon Suhakam mendesak kerajaan menghentikan rundingan FTA kerana negara seperti Amerika Selatan dan beberapa negara di Afrika yang sudah pun menandatanganinya lebih banyak menunjukkan kesan negatif terhadap ekonomi tempatan.

Ekonomi EU, Amerika tidak stabil

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mempersoalkan kerajaan yang masih meneruskan rundingan FTA sedangkan EU dan Amerika kini sedang mengalami krisis ekonomi sendiri.

“Kenapa kita perlukan mereka (EU dan Amerika) kerana ekonomi mereka sendiri tidak stabil. Mereka sebenarnya yang perlukan kita untuk kukuhkan ekonomi mereka,” soalnya.

Katanya, isu ini pernah dibangkitkan di Parlimen sejak rundingan itu bermula pada tahun 2009 namun dipandang sepi, tambahan rundingan ini tidak memerlukan persetujuan Parlimen untuk kerajaan melaksanakan FTA.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments