Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

‘Saya tidak serah air kepada Syabas’

 | February 5, 2012

Dr Khir berkata, kerajaan pusat yang memberi kontrak 30 tahun kepada anak syarikat Puncak Niaga itu bagi mengelak krisis air berulang.

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo berkata, beliau tidak menyerahkan air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagaimana sangkaan ramai.

Beliau menyerahkan  pengurusan air kepada kerajaan pusat bagi mengatasi krisis air Selangor.

Katanya, Selangor dan Kuala Lumpur berdepan krisis air sekitar tahun 1997 atau 1998.

“Kerajaan pusat yang memberikan kontrak 30 tahun kepada Puncak Niaga Sdn Bhd yang kemudiannya melantik Syabas untuk menguruskannya.

“Saya tidak terbabit kerana Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang memberikan kepada Puncak Niaga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Glenmarie.

Puncak Niaga merupakan syarikat milik Tan Sri Rozali Ismail yang dipercayai rapat dengan Umno Selangor.

Dr Khir menegaskan kerajaan BN Selangor menyerahkan projek bekalan air kepada kerajaan pusat kerana tidak mampu menguruskannya.

Katanya, krisis air membuatkan Selangor perlu membina empangan di Ampang Pecah. Kuala Kubu Baru.

Berhutang RM1,2 bilion

Menurut beliau, Selangor memerlukan perbelanjaan RM2.4 bilion tetapi  kerajaan negeri tidak mampu.

Pusat mahu Selangor membuat empangan tersebut bagi mengelak krisis air berulang.

“Waktu itu Selangor berhutang RM1.2 bilion dengan kerajaan pusat. Saya kenakan syarat kalau kerajaan pusat mahukan air Selangor, kena ambil dengan hutang sekali.

“Pusat setuju dan melupuskan hutang RM700 juta. Dari RM1.2 bilion hutang Selangor tinggal RM500 juta,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor mahu mengurus sendiri bekalan air dan berhasrat mengambilalih tiga syarikat  konsesi air iaitu Syabas, Konsortium Abbas Bhd dan Syarikat Pengurusan Air Selangor (Splash).

Syarikat Pengurusan Air Nasional (Pusat) sebuah agensi baru kerajaan pusat setuju dengan langkah Selangor mengambilalih bekalan air dari Syabas.

Tindakan awal Selangor mengambilalih Konsortium Abbas pada tahun 2007 dan sasaran seterusnya ialah Syabas.

Siapa nak buat

“Saya  mengarahkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengambil alih Syabas tetapi gagal kerana BN kalah pada 2008,” tambah beliau.

Sejurus selepas kekalahan itu, Dr Khir melepaskan jawatan menteri besar kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR,

Kerajaan baru Pakatan Rakyat sedang berusaha mengambilalih pengurusan air dari Syabas tetapi konsesi itu lebih berminat menyerahkannya kepada kerajaan pusat.

Dalam soal ini, Dr Khir menyarankan Menteri Besar sekarang menyerahkan pengurusan bekalan air kepada pusat untuk memastikan bekalan terjamin.

Katanya, Selangor memerlukan sumber bekalan baru bagi mengelak krisis berlaku lagi.

“Kerajaan negeri nak  bina empangan Langat 2 tetapi memerlukan kos RM4 bilion. Masalahnya siapa nak buat?

“Kerajaan negeri tiada wang. Kalau tak buat krisis air berlaku. Pemindahan air dari Pahang ke Selangor memerlukan RM12 bilion.

“Nasihat saya biar pusat buat,” tegas Dr Khir.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments