Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Dakwaan murtad: Mais sedia laporan

 | February 24, 2012

Mais dan Jais selaku institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kesucian agama Islam, dari masa ke semasa sentiasa membuat pemantauan.

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menyediakan satu laporan khas berhubung dakwaan murtad yang ditimbulkan oleh Pengerusi Jalur Tiga (Jati) Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali ketika pelancaran NGO itu Selasa lalu.

Setiausaha Mais, Mohd Haniff Hassan berkata, laporan itu akan diserahkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi gambaran jelas berhubung situasi yang dibangkitkan.

“Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selaku institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kesucian agama Islam, dari masa ke semasa sentiasa membuat pemantauan dan siasatan terhadap usaha-usaha memurtadkan orang Islam.

“Usaha ini adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan terhadap individu atau badan-badan yang bertanggungjawab berhubung isu murtad ini hanya akan diambil setelah Mais dan Jais melengkapkan siasatan bersama bukti-bukti kukuh untuk pendakwaan.

“Mais berharap agar masyarakat berbilang kaum di negara ini menghormati agama Islam sebagai Agama Persekutuan di samping bebas mengamalkan agama masing-masing,” kata Haniff.

Hasan Ali, pada majlis pelancaran Jati di Shah Alam Selasa lalu, di antara lain berkata pihaknya akan mendedahkan video eksklusif pengakuan individu yang dimurtadkan kepada umum dalam masa terdekat.

Sebagai respon kepada kenyataan Hasan Ali itu, Menteri Besar mengarahkan Mais dan Jais supaya menjalankan siasatan berhubung wujudnya usaha memurtadkan umat Islam.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments