Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kes Umno Selangor saman PAS 10 Mei

March 7, 2012

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh itu selepas membatalkan permohonan Dato' Mustafa Ali selaku defendan pertama.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 dan 11 Mei ini untuk perbicaraan kes saman oleh Umno Selangor terhadap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali serta lima yang lain berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh itu
selepas membatalkan permohonan Mustafa selaku defendan pertama untuk mengetepikan saman yang difailkan oleh Setiausaha Badan
Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed atas alasan teknikal.

Defendan kedua dan ketiga iaitu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebelum ini turut memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman itu tetapi peguam mereka, Azhana Mohd Khairudin, memaklumkan kepada mahkamah hari ini bahawa kedua-dua defendan itu ingin menarik balik permohonan mereka dan mahkamah membenarkannya dengan kos.

Pada 14 Sept tahun lepas, Mohd Zin memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Mustafa, Abdul Hadi, Mohamad Sabu, pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar berkenaan Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Zin berkata Mustafa pada 15 Ogos 2011 telah ditemuramah oleh Khairul Azlam di mana Setiausaha Agung PAS itu didakwa telah memfitnah Umno berkaitan dengan wadah dan perjuangan politik mereka.

Menurut beliau, dalam edisi Harakah bertarikh 19-21 Ogos 2011, Mustafa telah menyebabkan atau mengizinkan untuk dicetak dan diterbitkan kata-kata fitnah itu dalam sebuah artikel di halaman kedua akhbar itu bertajuk “PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi Jais”.

Mohd Zin menuntut kesemua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel, faedah empat peratus setahun dan satu arahan injunksi untuk menghalang mereka daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata fitnah itu, baik secara lisan atau di media cetak dan Internet.

Beliau menuntut kesemua defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments