Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Umno dakwa Anwar guna ejen Yahudi gerakkan PKR

 | March 13, 2012

Yayasan Konrad Adeneur (KAF) membantu Ketua Umum PKR dari segi dana dan latihan modal insan, kata Umno Selangor.

SHAH ALAM: Umno Selangor hari ini mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan khidmat agensi Yahudi membantu PKR merancang kempen dan jentera Pilihan Raya Umum lalu (PRU12).

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed berkata agensi itu, Yayasan Konrad Adeneur (KAF) membantu Anwar dari segi dana dan latihan modal insan, selain menyerap masuk badan pemikir (think tank) melalui Institut Kajian Dasar (IKD).

KAF pada tahun 1950-an pernah membantu golongan neo konservatif Yahudi melalui American Jewish Committe (AJC) apabila Canselor Jerman Konrad Adenauer, Perdana Menteri Israel David Ben Gurion dan Pengerusi Jewish Claims Conference berpakat menghasilkan ‘Perjanjian Luxemburg’.

Mohd Zain dalam pendedahannya mendakwa berdasarkan sumber dalaman maklumat PKR sendiri, KAF turut memainkan peranan penting dalam memberikan dana pembangunan teknologi dan latihan kepada PKR.

Ini termasuklah pembabitan beberapa individu asing dalam sekretariat PKR yang memberi nasihat dan tunjuk ajar mengenai beberapa perkara seperti penyusunan propaganda, gerakerja Unit Khas DUN dan Pasukan Khas, Perisian SisMap (Sistem pangkalan data PKR) serta menggodam emel (terutamanya agensi kerajaan).

“KAF secara terbuka menaja Pakatan menghantar ahli-ahlinya menjalani latihan kepimpinan di German yang ditanggung sepenuhnya oleh KAF.

Kader asing

“Individu ini secara halus dilatih untuk menjadi kader asing yang berkhidmat dibawah PKR tanpa disedari mereka sendiri,” katanya dalam sidang media di Pejabat Umno Selangor di sini hari ini.

Selain KAF, Mohd Zain mendakwa Anwar turut mendapat bantuan Institut Demokratik Kebangsaan untuk Hal Ehwal Antarabangsa (NDI) menyediakan buku manual bagi menghadapi pilihan raya kepada petugas PKR dan menggulingkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.

Menurut beliau, manual yang dinamakan buku perancangan kempen politik hasil tulisan Stephanie Lynn diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan dibuat khusus untuk menyebarkan dakyah kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan media dan beragama.

“PKR menganggap buku dari NDI ini sebagai kitab mereka untuk menghadapi pilihan raya nanti,” katanya.

NDI, salah satu daripada empat cabang NED diketuai oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeline Albright yang pernah menyokong Anwar semasa beliau dipecat.

Selain NDI, cabang lain ialah Institut Republikan Antarabangsa (IRI), Pusat Solidariti Buruh Antarabangsa Amerika (ACILS), dan Pusat Perniagaan Swasta Antarabangsa Amerika (CIPE).

“IRI dipengerusikan Senator John McCain, yang juga sekutu Anwar. Agensi-agensi ini merupakan proksi kepada golongan Yahudi Zionis,” katanya.

Beliau mendakwa agensi itu turut menggunakan kempen kebencian secara subversif apabila membangkitkan isu ‘Malaysia Spring’, Hindraf, dan isu Kristian semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sarawak tahun lalu.

“Menggunakan sentimen agama dan mewujudkan kebencian di kalangan rakyat bagi merampas kerajaan adalah satu kaedah yang paling primitif dan tidak bertamadun,” katanya yang mahu membuat pendedahan lagi pada masa akan datang.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments