Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Sabah: Negeri antara terkaya, rakyat paling miskin

March 14, 2012

Negeri di bawah bayu ini juga mencatatkan kadar kemiskinan bandar tertinggi di Malaysia.

COMMENT

Bahagian Akhir

Oleh Azrul Azwar

Dalam konteks Malaysia, berdasarkan metodologi tahun 2005, pendapatan garis kemiskinan (PGK) adalah setara dengan pendapatan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isirumah bagi mencapai taraf hidup minimum, cukup untuk menampung perbelanjaan membeli atau menikmati keperluan asas sama ada makanan dan bukan makanan.

PGK makanan, yang digunapakai bagi definisi kemiskinan tegar adalah berdasarkan keperluan diet/nutrisi asas rakyat Malaysia menurut usul daripada Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam “Recommended Daily Allowance”.

Keperluan tenaga ini berdasarkan struktur demografi spesifik sesebuah isirumah seperti umur, berat, jantina dan kadar metabolik asas pada pelbagai peringkat aktiviti fizikal.

Bakul makanan yang dipilih untuk memenuhi keperluan diet seimbang ini (10%-20% kalori dari protein, 20%-30% kalori dari lemak dan 50%-60% dari karbohidrat) mengandungi bahan makanan lazim dan pada harga terendah.

Perbelanjaan isirumah

PGK bukan makanan bagi definisi kemiskinan relatif pula mengambil pendekatan Bank Dunia dalam membuat anggaran keperluan minimum barangan atau perkhidmatan bukan makanan yang lazimnya diperolehi daripada hasil ‘household expenditure surveys’ atau kaji selidik perbelanjaan isirumah.

Ini berdasarkan corak perbelanjaan golongan 20% isirumah terbawah (bottom 20%) bagi barangan dan perkhidmatan utama bukan makanan seperti pakaian dan kasut; kediaman (sewa, ansuran bulanan dan sebagainya), utiliti dan bahan api; pengangkutan; komunikasi; alatan dan perkakas rumah serta pelbagai barang dan perkhidmatan bukan makanan lain di mana paras harga boleh dibahagikan kepada negeri dan strata.

Jelas bahawa nilai PGK makanan jauh lebih rendah daripada PGK bukan makanan. Walaupun masih ramai yang keliru dengan definisi kemiskinan tegar dan kemiskinan relatif, dalam konteks Malaysia, apa yang kita boleh rumuskan adalah:

  • Jika pendapatan sesebuah isirumah adalah di bawah PGK makanan, maka isirumah tersebut ditakrifkan sebagai miskin tegar.
  • Jika pendapatan sesebuah isirumah adalah di bawah PGK bukan makanan, maka isirumah tersebut ditakrifkan sebagai miskin relatif. PGK bukan makanan merupakan penentu tahap kemiskinan di Malaysia.

Pada tahun 2009, dianggarkan 80% daripada keseluruhan isirumah miskin yang berjumlah 228,400 isirumah (lebih kurang setara dengan 1.5 juta individu atau 5.4% daripada keseluruhan penduduk Malaysia) tinggal di lima buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Walaupun hanya 8.6% daripada keseluruhan isirumah negara menetap di Sabah dan Labuan, 43.4% daripada bilangan isirumah miskin seluruh negara bertumpu di situ.

Penempatan setinggan tertinggi


Dengan 37,965 isirumah, Sabah juga mempunyai bilangan isirumah yang tinggal di penempatan setinggan tertinggi di Malaysia pada tahun 2009, setara dengan 38.3% daripada jumlah keseluruhan sebanyak 99,022 “squatter households” atau isirumah setinggan di Malaysia.

Maka, berdasarkan pada kadar kemiskinan dan beberapa penunjuk berkaitan kemiskinan lain pada tahun 2009, Sabah sememangnya negeri termiskin di Malaysia dan jauh ketinggalan dari segi “soft and hard infrastructure”.

Kadar kemiskinan Sabah pada paras 19.7% atau 19.2% jika digabungkan dengan Labuan adalah yang tertinggi di Malaysia, lebih lima kali ganda kadar kemiskinan nasional pada 3.8% atau empat kali ganda kadar kemiskinan Kelantan yang digembar-gemburkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai negeri termiskin di Malaysia.

Malah, kemiskinan di kalangan etnik minoriti di Sabah adalah lebih teruk pada paras 22.8% berbanding dengan hanya 6.4% di negeri jirannya, Sarawak.

Kesempitan hidup lebih mencengkam di kawasan jauh daripada kota dan bandar di Sabah di mana kadar kemiskinan luar bandar sangat tinggi pada paras 35%.

Menurut hasil kajian World Bank’s 2010 Malaysia Economic Monitor, paling ramai rakyat miskin di Sabah boleh ditemui di kawasan luar bandar terutamanya di kalangan etnik Rungus di utara, Orang Sungai di timur dan etnik Suluk di timur. Terdapat juga rakyat miskin dalam komuniti lain termasuklah keturunan Tionghua di kawasan bandar.

Sabah juga mencatatkan kadar kemiskinan bandar tertinggi di Malaysia.

Dengan saiz isirumah purata terbesar di Malaysia dari segala segi, sudah pasti kesempitan hidup amat mencabar terutamanya bagi mereka yang tergolong dalam kategori 40% isirumah terbawah (bottom 40%).

Pendapatan kasar

Lebih parah lagi, kadar isirumah di Sabah dalam kategori 40% isirumah terbawah yang ditakrifkan sebagai mereka yang berpendapatan kasar kurang daripada RM2,300 sebulan.

Pendapatan kasar bulanan purata pada 2009 bagi seluruh Malaysia adalah RM4,025 iaitu RM4,705 di bandar dan RM2,545 di luar bandar berbanding bagi golongan 40% isirumah terbawah sebanyak RM1,440.

Jumlah pendapatan ini telah meningkat kepada 11% pada tahun 2009 berbanding 6% pada tahun 1989!

Hakikatnya, pada tahun 2009, menurut laporan “The Millennium Development Goals at 2010”, terbitan hasil kerjasama di antara

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, semua negeri di Malaysia KECUALI Sabah telah berjaya mencapai satu daripada lapan matlamat pembangunan.

Matlamat ini terkandung dalam “Millenium Development Goals” yang dipersetujui oleh kesemua 193 negara ahli PBB untuk dipenuhi di antara tahun 1990 sehingga selewat-lewatnya 2015, yakni mengurangkan sehingga menjadi separuh kadar kemiskinan masing-masing.

Rakyat Sabah terpinggir

Malah, masih ramai rakyat Sabah seolah-olah terpinggir daripada arus pembangunan pesat negara.

Rakyat Sabah dinafikan akses kepada fasiliti dan infrastruktur kerana setelah hampir setengah abad Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah semasa di luar BN masih gagal menyediakan:

  • bekalan elektrik kepada hampir satu pertiga (23%) daripada masyarakat luar bandar Sabah berbanding hanya 0.5% peratus sahaja masyarakat luar bandar di Semenanjung Malaysia yang masih belum menikmati kemudahan elektrik.
  • bekalan air bersih atau air yang telah dirawat kepada hampir separuh (47.7%) daripada masyarakat luar bandar di Sabah sedangkan hanya 10% daripada masyarakat luar bandar di Semenanjung Malaysia yang kurang bernasib baik tanpa akses kepada air bersih.
  • peluang pekerjaan sesuai pada paras pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup terutamanya bagi warga belia.

Jika Malaysia menggunapakai kayu ukur kemiskinan sebagaimana pendekatan yang diambil di negara maju seperti OECD dan Kesatuan

Eropah nescaya kadar kemiskinan Malaysia khususnya Sabah akan meningkat paling kurang tiga hingga empat kali ganda!

PGK pada paras 50% atau 60% pendapatan isirumah median dianggap oleh banyak pihak berkepentingan sebagai mampu memberi gambaran lebih tepat paras pendapatan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isirumah bagi memenuhi keperluan asas supaya

mencapai taraf hidup yang memuaskan.

Jika diambil kira purata pendapatan kasar isirumah pada tahun 2009 sebanyak RM3,144 bagi Sabah dan Labuan, PGK pada kadar 60% akan melonjak kepada RM1,886.4 bagi Sabah dan Labuan berbanding RM1,048, sekaligus menjerumuskan lebih ramai lagi rakyat Sabah ke dalam kancah kemiskinan.

Jurang antara kaya dan miskin melebar atau ketidaksamaan ekonomi merosot di Sabah dan Labuan di mana pekali Gini telah meningkat kepada 0.453 pada 2009 berbanding 0.450 pada 2007 atau 0.448 pada 1999!

Kegagalan pentadbiran BN

Semua ini jelas mercu tanda kegagalan pentadbiran BN menfaatkan sebaiknya kekayaan hasil bumi dan pelbagai kelebihan lain yang dimiliki negeri yang terkenal dengan jolokan di bawah bayu ini.

Sebagai antara negeri terkaya di Malaysia dari segi sumber alam semulajadi seperti minyak, gas, balak, hidupan laut serta hasil lautan dan perhutanan asli yang lain adalah amat tidak wajar dan memalukan bagi Sabah mendapat gelaran negeri termiskin di Malaysia.

Tambahan pula Sabah mempunyai kawasan pertanian yang luas dengan kelapa sawit, getah, koko dan komoditi lain serta pelbagai kawasan tarikan pelancong berpotensi tinggi terutamanya bagi segmen pelancongan-eko dan pelancongan-agro.

Malah, tidaklah keterlaluan jika sesetengah pihak menyifatkan kegagalan perancangan ekonomi untuk mencapai pertumbuhan inklusif ini sama seperti “jenayah kemanusiaan” apabila ketirisan, pembaziran, amalan rasuah dan kronisme yang berakar-umbi dan berleluasa secara sistematik.

Gejala buruk ini telah melebarkan jurang kaya-miskin, bandar-luar bandar, Bumiputera-bukan Bumiputera, berpendidikan-tidak berpendidikan, antara wilayah atau negeri dan sebagainya bukan sahaja di Sabah malahan di seluruh Malaysia.

Meskipun pendapatan per kapita negeri Kelantan adalah yang terendah di Malaysia, sudah terang lagi bersuluh, bahawa negeri tersebut bukanlah yang termiskin di Malaysia sebagaimana yang didakwa oleh Najib kerana pada paras 4.8%, kadar kemiskinan Kelantan hanyalah yang kelima tertinggi di Malaysia di belakang Sabah, Perlis, Sarawak dan Kedah (mengikut turutan).

Oleh kerana terbukti tanpa sebarang keraguan lagi bahawa rakyat Sabahlah yang terpaksa bergelut paling teruk untuk meneruskan kehidupan seharian terutamanya dalam golongan 40% isirumah terbawah.

Maka Najib dan rakan-rakannya dinasihatkan supaya mengekang diri daripada mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan sama sekali tidak berasas ataupun menyalahgunakan /menyalahtafsirkan penunjuk ekonomi seumpama ini pada masa hadapan.

Bahagian pertama

Penulis adalah ahli Lawyers For Liberty


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments