Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Profil Tuanku Hajah Haminah

April 5, 2012

Baginda sangat prihatin dalam mengambil kira permasalahan hidup rakyat terutama isu yang bersangkutan dengan kanak- kanak, hal-ehwal wanita dan juga warga emas.

KUALA LUMPUR: Sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April ini, Istana Negara telah mengeluarkan profil Raja Permaisuri Agong XIV seperti berikut:

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah diputerikan pada 15 Julai 1953 bersamaan 3 Zulkaedah 1372H di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan.

Baginda merupakan anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik bagi pasangan Haji Hamidun Taib dan Hajah Isma Mohamad.

Tuanku Hajah Haminah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak dan Sekolah Menengah Inggeris Bagan Serai, Perak.

Baginda juga merupakan Canselor Management and Science University, Shah Alam, Selangor.

Tuanku Hajah Haminah telah bertemu jodoh dengan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong XIV Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka berdua selamat diijabkabulkan pada 25 Disember 1975.

Baginda telah dikurniakan gelaran Yang Mulia Che Puan dan seterusnya pada tanggal 9 Januari 2004, Baginda dimasyhurkan sebagai Sultanah Negeri Kedah Darul Aman dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Haminah Hamidun berikutan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Bahiyah pada 26 Ogos 2003.

Sebagai Sultanah Negeri Kedah, Baginda tidak pernah melepaskan peluang mengiringi Baginda Tuanku Sultan ke Majlis-majlis Rasmi Kerajaan dan Baginda turut serta berangkat melawat daerah-daerah seluruh Negeri Kedah bagi meninjau kehidupan rakyat sekaliannya bersama-sama Baginda Tuanku Sultan.

Tuanku Hajah Haminah telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Kerabat Yang Amat Mulia Negeri Kedah Darul Aman (D.K.) pada tahun 2004, Darjah Kerabat Halimi (D.K.H.) sempena Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah pada 15 Julai 2008, dan Darjah terkini telah diterima oleh Baginda ialah Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) pada Januari 2012.

Nilai-nilai agama


Baginda begitu menitikberatkan nilai-nilai agama dan kebajikan seiring dengan penyuburan nilai-nilai tradisi, adat dan budaya Melayu.

Sehubungan itu, Baginda telah berangkat menunaikan Fardu Haji pada 1983 di samping mengerjakan umrah yang menjadi sebahagian daripada amalan Baginda sekiranya mempunyai kelapangan.

Begitu juga sepanjang bulan Ramadan, Baginda akan sentiasa meluangkan masa menunaikan solat Tarawih bersama-sama rakyat di masjid-masjid sekitar Alor Setar, Kedah terutamanya di Masjid Sultanah Bahiyah dan Masjid Zahir.

Keperibadian diri sebagai wanita Melayu yang mengutamakan sopan santun dan kelembutan adat budaya Melayu sentiasa diutamakan oleh Seri Paduka.

Baginda sentiasa tertib dalam menjaga keterampilan sesuai dengan kedudukan Baginda sebagai Raja Permaisuri Agong.

Begitu juga dalam konteks etika sosial, kuntuman senyuman sudah menjadi satu simbol yang sering dikaitkan dengan diri Baginda Tuanku semasa tampil bersemuka dengan golongan rakyat.

Sayugia diingat, Baginda sangat prihatin dalam mengambil kira permasalahan hidup rakyat terutama isu yang bersangkutan dengan kanak-kanak, hal-ehwal wanita dan juga warga emas.

Manifestasi daripada nilai kelembutan seorang wanita yang penyayang, Seri Paduka sentiasa peka dengan perkembangan semasa berkaitan dengan lingkungan kehidupan kanak-kanak sebagai legasi negara pada masa depan.

Malah, Baginda Tuanku begitu menyenangi dan menyayangi kanak-kanak.

Baginda turut mengambil maklum akan golongan kanak-kanak yang memerlukan bantuan.

Yayasan kebajikan

Justeru, atas inisiatif Baginda sendiri, Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Hajah Haminah iaitu sebuah yayasan berasaskan kebajikan yang bermatlamat untuk membela nasib kanak-kanak kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim telah ditubuhkan.

Semangat Baginda bagi membela nasib kanak-kanak ini diperlihatkan sendiri dengan keterlibatan Baginda sebagai penggerak aktiviti yayasan.

Walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi, Baginda akan sentiasa berangkat bagi mengurniakan sendiri bantuan kepada anak-anak yatim yang akan memulakan persekolahan dan juga sumbangan sempena sambutan Aidilfitri menerusi yayasan Baginda.

Begitu juga, Raja Permaisuri Agong tidak pernah membatasi pergerakan Baginda dalam menjalin hubungan dengan rakyat menerusi aktiviti-aktiviti amal dalam konteks kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Dorongan dan galakan Baginda diperlihat dengan keterlibatan Baginda sendiri sebagai penggerak sesuatu aktiviti, persatuan atau pertubuhan di Negeri Kedah.

Baginda merupakan Penaung Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Kedah, Persatuan Pandu Puteri Negeri Kedah, Persatuan Ibu Tunggal Negeri Kedah serta Woman Institution.

Di peringkat persekutuan, Baginda merupakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Lembaga Kebajikan Perempuan-Perempuan Kebangsaan.

Walaupun rutin harian Baginda dipenuhi dengan tugas-tugas rasmi dan sosial, Baginda tidak pernah mengabaikan aspek penampilan dan kesihatan diri.

Riadah dan sukan

Baginda akan cuba membahagikan masa Baginda bagi aktiviti-aktiviti peribadi yang bercorak riadah dan sukan.

Tuanku Hajah Haminah menaruh minat yang mendalam terhadap sukan golf. Baginda sememangnya terkenal dengan kehandalan Baginda tatkala menyertai pelbagai kejohanan golf wanita.

Pelbagai kejohanan golf telah disertai oleh Baginda termasuklah Penang Open
dan Perak Open.

Kejohanan yang meninggalkan kenangan manis buat diri Baginda adalah Pertandingan Golf Piala Bapa Malaysia pada tahun 1987 yang mana Baginda merupakan Johan Pertandingan dan hadiah kejohanan telah disampaikan sendiri oleh Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj.

Atas kesungguhan serta minat mendalam Baginda dalam sukan ini, Baginda telah menjadi pendorong kepada pelbagai pertandingan golf wanita di Negeri Kedah.

Selain daripada golf, Baginda juga turut meminati permainan skuasy, tenis dan badminton.

Dalam melayari rutin seharian di istana, Baginda menepati naluri seorang wanita, di mana amat menitikberatkan ruang yang kemas dengan persekitaran teratur, sempurna dan bersih.

Dengan minat dan kemahiran yang dimilikinya, Baginda melakukan sendiri kerja-kerja hiasan dalaman di dalam kediaman Baginda sebagai rutin harian mengisi masa lapang Baginda sekiranya tidak terikat dengan aktiviti rasmi dan sosial.

Tuanku Hajah Haminah juga akan mencari kesempatan memasak untuk menyediakan hidangan kegemaran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan keluarga.

Baginda sering melapangkan masa setiap hari untuk memenuhi hobi membaca pelbagai buku ilmiah dan keagamaan, serta mendengar alunan pelbagai genre muzik selain daripada melancong.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments