Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Jati minta Pendidikan Islam jadi subjek wajib lulus

April 8, 2012

Permintaan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap Islam dan bukan kerana bersikap perkauman atau cauvinis semata -mata, kata presidennya Hasan Ali.

BUTTERWORTH: Jalur Tiga (Jati) akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta mata pelajaran Pendidikan Islam menjadi salah satu subjek wajib lulus dalam peperiksaan sebagaimana subjek wajib lulus yang lain.

Presidennya Datuk Dr Hasan Ali berkata permintaan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap Islam dan bukan kerana bersikap perkauman atau cauvinis semata-mata.

“Jati juga mahu mata pelajaran Pendidikan Islam dijadikan subjek wajib lulus kepada pelajar Islam dalam peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Bagaimanapun memorandum itu akan diserahkan selepas Jat berjaya mengumpulkan seramai 500,000 ahlinya dan kita yakin mampu memperoleh jumlah berkenaan menjelang enam bulan akan datang,” katanya semasa menyampaikan ceramah Selamatkan Akidah anjuran Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) Pulau Pinang di Bukit Jelutong, Permatang Pasir, dekat sini, malam tadi.

Hasan yang juga bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor menyampaikan ceramah di hadapan lebih 5,000 orang di Bukit Jelutong yang merupakan siri jelajahnya ke seluruh negara.

Hasan dalam ceramahnya sekali lagi menegaskan supaya pengundi Melayu khususnya di Pulau Pinang menjadikan pilihan raya umum ke-13  (PRU-13) sebagai peluang untuk menyelamatkan serta melindungi hak keistimewaan
Islam, orang Melayu dan institusi raja daripada dihapuskan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuk pembangkang.

Katanya undi orang ramai akan menjadi penentu kerajaan mana yang boleh mempertahankan ketiga-tiga keistimewaan tersebut yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sebagai orang Islam, mereka wajib mempertahankan ketiga-tiga perkara itu dan juga wajib memilih pemimpin yang benar-benar dapat menyelamatkannya.

“Saya mahu untuk PRU-13 nanti terutama orang Pulau Pinang, mari kita selamatkan ketiga-tiga ini. Saya minta tolong sangat-sangat. Perubahan ini mesti dilakukan bila tiba PRU-13,” katanya.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments