Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pendidikan percuma mampu direalisasikan

 | April 11, 2012

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa kos purata PTPTN setiap tahun untuk membiayai pengajian mahasiswa adalah sebanyak RM3 billion sahaja.

Bahagian Akhir

Sejak dua minggu isu panas perbualan orang ramai, yang didebatkan oleh  pemimpin parti politik dan menjadi liputan utama media massa ialah isu memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Walaupun cadangan memansuhkan PTPTN adalah cadangan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat; pemimpin Umno dan media kawalan Umno mensasarkan serangan ke atas Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Hujah yang dimainkan oleh pemimpin Umno ialah negara akan bankrap jika PTPTN dimansuhkan.

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak memberikan gambaran bahawa PTPTN mustahil dimansuhkan oleh Pakatan kerana membabitkan perbelanjaan sebanyak RM43 billion.

Sekali dengar memang seperti mustahil. Walaubagaimanapun Najib tidak menyatakan adakah RM43 billion itu adalah tunggakan setakat hari ini iaitu sejak pinjaman PTPTN mula dilancarkan atau kos pinjaman PTPTN setiap tahun adalah RM43 billion.

Walaubagaimanapun kelmarin seorang pemimpin PKR, R Suresh Kumar mendakwa RM43 billion itu bukan kos PTPTN untuk setahun sebaliknya kos tertunggak selama 15 tahun.

Semalam Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa pula berkata bahawa jumlah mpinjaman PTPTN sejak mula dikeluarkan sehingga ke hari ini adalah RM28 billion dan membidas Najib kerana cuba mengelirukan dan menakutkan rakyat dengan angka yang jauh lebih besar.

Suresh Kumar dan beberapa pemimpin Pakatan mendakwa kos purata PTPTN untuk setiap tahun untuk membiayai pengajian mahasiswa adalah sebanyak RM3 billion.

Ini bermakna jika Pakatan berjaya mengambil alih Putrajaya, jika mereka tidak menghapuskan PTPTN yang tertunggak sejak 15 tahun sekaligus pun, sekurang-kurangnya mereka boleh memansuhkan pinjaman PTPTN serta merta untuk pengambilan akan datang dan digantikan dengan biasiswa 100 peratus kepada penuntut yang layak menerima biasiswa (istilah asal PTPTN).

Pakatan mampu serap kos pengajian

Dengan pendapatan RM150 billion setahun adalah tidak mustahil kerajaanm Pakatan mampu menyerap kos RM3 billion setahun.

Walaubagaimanapun ada banyak kaedah penjimatan untuk menampung kos pengajian percuma tanpa mengusik pendapatan tahunan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Isu PTPTN PAS Pusat, Mohd Taufek Abdul Ghani berkata dengan memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa seramai 629,052 pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) direkodkan sehingga 29 Februari dan sebanyak RM4.36 billion telah dibelanjakan untuk PLKN sejak program itu dilaksanakan.

“Berdasarkan angka tersebut kos seorang pelatih PLKN selama tiga bulan adalah bersamaan dengan kos pembiayaan pinjaman PTPTN seorang mahasiswa peringkat Ijazah selama satu tahun.

“Jumlah RM4.36 bilion itu boleh menampung kos pinjaman PTPTN untuk seramai 622,857 orang mahasiswa Ijazah pertama di IPTA selama setahun.

“Ini ialah kerana kerajaan membelanjakan RM6,931 bagi seorang pelatih yang menamatkan kursus selama tiga bulan di PLKN.

“Sedangkan untuk Ijazah pertama, PTPTN hanya memberikan pinjaman RM7,000 setahun manakala untuk Diploma hanya RM5,000 setahun,” kata Mohd Taufek.

Mansuh program PLKN

Mohd Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi berkata dengan memansuhkan program PLKN yang setakat ini sudah meragut 18 nyawa pelajar sama ada ketika menjalani latihan di pusat latihan atau selepas pulang ke rumah selepas latihan tamat; kos PLKN sebanyak RM4.36 billion itu sudah cukup untuk menampung kos pengajian mahasiswa di IPTA.

“Walaupun hanya RM3 billion sahaja yang diperlukan tetapi dengan menambah satu billion lagi, ia mampu menampung pengajian pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di IPTA untuk meneruskan pengajian di IPTS.

“Malah dengan peruntukan tambahan RM1 billion yang dijimatkan daripada kos PLKN itu mampu membiayai pelajar bukan Melayu yang sering merungut apabila nama mereka tercicir daripada senarai pelajar yang berjaya mendapat biasiswa.

“Maka isu pelajar bukan Melayu yang tidak mendapat biasiswa juga dapat diatasi apabila kos PLKN ini digunakan untuk menampung biasiswa”, ujar Mohd Taufek lagi.

Mohd Taufek juga mempertikaikan sikap Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melatah kononnya negara akan bankrap jika Pakatan menghapuskan PTPTN.

“Walaubagaimanapun Najib dan Muhyiddin menikus apabila Laporan Audit Negara sebelum ini mengesahkan kerajaan kerugian sebanyak RM28 billion akibat ketirisan.

Mereka tidak kisah dalam isu “write off” hutang RM589 juta bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli. Mereka juga tidak kisah memberikan dana besar RM250 juta kepada kroni Umno dalam projek NFC, tetapi dalam isu kebajikan pelajar dan rakyat terbanyak, bukan main berkira pemimpin Umno.

“RM28 billion itu boleh melangsaikan pinjaman PTPTN setakat hari ini iaitu sebanyak RM28 billion.

“Jika RM28 billion itu tidak digunakan untuk “write off” pinjaman tertunggak PTPTN sekaligus sekali pun, RM28 billion itu boleh membiayai pinjaman PTPTN dalan bentuk biasiswa untuk sembilan tahun dengan kos RM3 billion setahun.

“Penjimatan daripada ketirisan dan kos PLKN hanyalah sedikit contoh bagaimana kita boleh mencari sumber kewangan untuk memberikan pendidikan percuma (biasiswa).

Tutup kelemahan

“Alasan yang diberikan oleh Najib dan Muhyiddin hanyalah alasan semata-mata untuk menutup kelemahan masing-masing,” kata Mohd Taufek lagi.

Mohd Taufek yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, berkata alasan yang diberikan oleh Najib dan Muhyidin langsung tidak dibeli dengan mudah oleh golongan mahasiswa dan mahasiswi.

“Mereka tahu apa yang berlaku dalam negara dan bagaimana kekayaan negara tidak diuruskan dengan baik dan telus. Mahasiswa juga tahu soal ekonomi dan jangan fikir mereka tidak tahu langsung soal pengurusan kewangan.

“Kenyataan Najib dan Muhyiddin bahawa negara akan bankrap jika PTPTN dihapuskan dan jika Pakatan memberikan pendidikan percuma adalah mengarut sama sekali. Kenyataan yang mengelirukan tanpa fakta sebenar,” ulas Mohd Taufek lagi.

Justeru itu idea Pakatan untuk memansuhkan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma dari pra sekolah sehingga peringkat universiti mampu dilaksanakan dan logik.

Hanya orang yang tidak tahu soal pengurusan ekonomi, kewangan dan tidak mengambil tahu tentang ketirisan dalam pentadbiran negara sahaja yang akan berkata bahawa idea tersebut adalah tidak logik dan tidak boleh dilaksanakan.

Bahagian Pertama

Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments