Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 23

 | April 21, 2012

Akhirnya, Hanuman menemui Sita di dalam sebuah bilik yang dihias indah.

FEATURE

Akhirnya aku sampai di Langkapuri. Di bahagian tengah pulau itu kelihatan sebuah istana yang berdiri megah. Ia dikawal oleh sejumlah raksasa.

Aku boleh sahaja menjelmakan diriku dalam bentuk viswarupa, yakni bentuk tubuhku yang sebesar alam dan meranapkan istana Ravana berserta para tenteranya.

Akan tetapi, tentu Rama tidak akan bersetuju dengan tindakan sebegitu rupa. Aku diutus oleh Rama ke Langkapuri hanya untuk merisik keadaan Sita. Rama tidak menyuruh aku memulakan perang.

Lalu, aku pun menjelmakan diriku dalam bentuk sebesar seekor lalat. Dengan cara itu, aku dapat masuk ke istana Ravana tanpa apa-apa halangan.

Sampai di dalam istana yang besar dan amat baik ciri pembinaannya itu, aku mula mencari tempat Sita disembunyikan.

Akhirnya, aku menemui Sita di dalam sebuah bilik yang dihias indah. Aku menjelma semula dalam bentuk diriku yang asal dan memperkenalkan diri kepada Sita.

Sebagai bukti bahawa aku adalah sesungguhnya utusan Rama, aku menunjukkan cincin pemberiannya.

Kemudian, aku menawarkan diri untuk menerbangkan Sita dari situ. Nanti, bolehlah Rama datang membunuh Ravana. Nyawa Sita akan lebih selamat dengan cara itu.

Lagi pun, aku sedar betapa ibu merindui ayah. Ada baiknya jika aku membawa ibu terbang dari situ. Kalau ibu sudah dibawa pergi dari
Langkapuri, bolehlah nanti seluruh pulau itu diserang oleh tentera ayah tanpa perlu risau tentang keselamatan diri ibu.

Biarlah seluruh Langkapuri dimusnahkan dan ditenggelamkan ke dasar laut supaya tidak ada sebarang sengketa berlaku berlatarkan pulau itu pada masa hadapan. Biar Langkapuri menjadi kenangan silam; atau sekadar mitos pada masa akan datang.

“Tidak.” Sita beralih ke jendela.

“Cuba tengok cincin ini.” Aku menunjukkan cincin itu bagi kali kedua. “Percayalah. Saya benar-benar adalah utusan daripada Rama.”

“Aku tidak sanggup disentuh lelaki lain.”

“Rama menganggap saya sebagai anak angkat. …”

“Apa? Seekor kera dibuatnya anak? Aku tidak sanggup disentuh oleh seekor kera yang kotor seperti kau! Entah penyakit apa yang kau bawa. Aku benci pada kera!”

Aduh! Tidak mengapa. Setiap kata seorang ibu adalah tanda kasih. Atau biarlah aku anggap begitu.

“Ibu sudah lupakah siapa saya? Sayalah anak yang ayah dan ibu serahkan kepada Ibu Anjathi. Sayalah Hanuman, anak Rama yang agung. Sudah lupakah ibu?” – Bersambung esok

Uthaya Sankar SB mempersembahkan kisah ini dalam bentuk karya intertekstual berciri parodi retorik; bukan sebagai sebuah teks kudus.

Baca juga:

Bahagian terdahulu


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments