Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Koperasi Permodalan Felda kecewa diketepikan dari FGVH

April 27, 2012

KPF menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan untuk menyenaraikan FGVH demi masa depan peneroka Felda.

PETALING JAYA: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) berkata,  tindakan Felda menggugurkan pihaknya daripada terlibat di dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd (FGVH) bercanggah dengan pengumuman  Datuk Seri Najib Tun  Razak 7 Oktober lalu.

Anggota Lembaganya , Datuk Zainal Hassan berkata, KPF berpegang bahawa apa yang diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri ini adalah polisi kerajaan yang sepatutnya dipatuhi dan dihormati oleh Felda.

Ucapan Najib, katanya jelas membayangkan pendirian rasmi kerajaan bahawa meskipun FGVH bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, kepentingan 230,000 ahli KPF yang terdiri dari peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA akan tetap terpelihara melalui pemilikan saham majoriti oleh KPF di dalam entiti FGVH yang disenaraikan.

“Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan Felda”,” kata Perdana Menteri ketika mebentangkan bajet di Dewan Rakyat 7 Oktober lalu.

Pada 25 April lalu, Pengerusi Risda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengumumkan pengguguran KPF daripada terlibat dengan FGVH.

Tambah mengecewakan, kata Zainal keputusan Felda ini dibuat hanya beberapa hari sahaja selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF meluluskan dengan majoriti besar usul yang dibawa oleh Lembaga KPF agar KPF terlibat di dalam penyenaraian FGVH dengan pegangan saham melalui syarikat Felda Asset Holdings Company Sdn. Bhd. (FAHC).

Katanya KPF menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan untuk menyenaraikan FGVH demi masa depan peneroka Felda.

“Sejak dari pengumuman Perdana Menteri tersebut dan disusuli pula dengan tawaran dari FELDA untuk membeli 51% ekuiti milik KPF di dalam Felda Holdings Berhad (FHB) dan 10 anak syarikatnya.

“KPF telah mengambil pelbagai tindakan proaktif antaranya menubuhkan jawatankuasa penasihat penyenaraian, melantik konsultan-konsultan, menganjurkan sesi-sesi taklimat kepada ahli KPF di seluruh negara serta mengadakan pelbagai perundingan dan mesyuarat dengan FELDA dan FGVH bagi memperhalusi segenap aspek penyenaraian tersebut dan seterusnya memastikan penglibatan KPF akan memberikan impak yang positif kepada KPF dan ahlinya.

“Sepanjang tempoh tersebut, begitu banyak masa, tenaga dan kos yang tinggi  dibelanjakan oleh KPF semata-mata kerana KPF ingin melihat penyenaraian FGVH ini menjadi realiti. Maka, selepas segala komitmen diberikan, adalah tidak wajar KPF diketepikan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sokongan majoriti

Berhubung dengan tindakan injunksi sementara yang diambil oleh segelintir peneroka bagi menghalang mesyuarat agung luar biasa (EGM) KPF, ianya adalah di luar kawalan KPF, kata Zainal.

Bagaimanapun, katanya  KPF akhirnya berjaya mengenepikan injunksi tersebut melalui proses mahkamah yang sudah tentu mengambil sedikit masa.

“Apatah lagi KPF terikat untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan undang-undang untuk memanggil semula mesyuarat agung luar biasa.

“Namun akhirnya, mesyuarat agung luar biasa dapat diadakan pada 19 April  lalu di mana usul yang dicadangkan oleh Lembaga KPF telah disokong oleh majoriti besar perwakilan yang hadir.

” Kepimpinan KPF memikul tanggungjawab untuk memastikan mandat dan sokongan besar ahli-ahli KPF yang terdiri dari kalangan peneroka dan kakitangan Felda  agar KPF terlibat di dalam penyenaraian FGVH ini dapat dilaksanakan dengan  jayanya.

“Apa yang ironi di sini, hasrat segelintir peneroka yang terpengaruh dengan pertubuhan ANAK untuk menghalang penglibatan KPF di dalam penyenaraian FGVH nampaknya tercapai dengan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Felda  tanpa perlu mereka bersusah payah memfailkan lagi injunksi di mahkamah,” tambah beliau lagi..

Zainal menolak kesuntukan masa untuk melibatkan KPF di dalam penyenaraian FGVH adalah diakibatkan oleh pelbagai tawaran balas KPF kepada Felda hingga menjejaskan struktur asas penyenaraian.

Katanya, apa yang dikemukakan oleh KPF melalui sepucuk surat bertarikh 16 April lalu kepada Felda  hanyalah merupakan cadangan-cadangan pindaan terhadap kandungan perjanjian jual beli saham-saham milik KPF kepada Felda  dan tidak melibatkan sebarang perubahan kepada struktur asas penyenaraian FGVH.

Menurut beliau, Lembaga KPF yang bermesyuarat pada hari Khamis lalu  telah mengambil ketetapan untuk memajukan perkara ini kepada Felda  dan seterusnya kepada Perdana Menteri supaya KPF dilibatkan kembali di dalam penyenaraian FGVH sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments