Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Keyakinan pelabur tidak luntur

 | May 5, 2012

Sehingga kini, tidak ada pelabur asing yang menarik balik pelaburan mereka.

KUCHING: Meskipun negara dihangatkan oleh keganasan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu, namun keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi dan politik Malaysia dan Sarawak amnya tetap kukuh.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan berkata setakat ini belum ada pelabur asing yang menarik balik pelaburan mereka di negeri ini walaupun ada di kalangan mereka mempersoal tentang kestabilan politik dan ekonomi negara.

Bagaimanapun tegasnya, budaya ‘samseng’ yang dibawa sekumpulan perusuh ternyata sedikit sebanyak telah mencalar imej negara di mata pelabur asing.

“Sehingga kini, tiada pelabur asing yang menarik balik pelaburan mereka. Mereka cuma menerima gambaran yang negatif yang dilaporkan media pembangkang yang hanya semata-mata untuk merosakkan imej Malaysia.

“Realitinya, perkara itu tidak berlaku kerana sebahagian kecil sahaja kumpulan perusuh yang bertindak ganas dan berniat buruk untuk menjejaskan keamanan negara serta kerajaan yang ada dengan mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2012.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengutuk peserta perhimpunan yang bertindak ganas dan biadab bukan sahaja dengan merempuh sekatan polis malahan turut menyerang serta memukul sehingga menyebabkan wartawan dan anggota pasukan keselamatan cedera.

Tidak cukup dengan itu ujarnya, tindakan ganas peserta-peserta perhimpunan berkenaan ternyata bercanggah dengan norma sebuah negara demokratik yang diamalkan di Malaysia selama ini.

“Jangan biarkan negara yang kita cintai ini rosak dan huru-hara oleh sikap individu yang hanya mementingkan kepentingan diri mereka sahaja,” katanya yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Mengenai pertandingan pidato tersebut, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II itu memberitahu ia merupakan landasan terbaik untuk memartabatkan bahasa rasmi negara.

“Pendedahan melalui pertandingan pidato ini dapat menarik minat bangsa lain di negeri ini untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments