Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Demam bola Euro 2012 & politik mula merebak

May 7, 2012

Sejak Kejohanan UEFA EURO diadakan mulai 1960, terdapat tiga kali di mana kejohanan berprestij itu diadakan pada tahun sama Malaysia mengadakan PRU.

Oleh A. Ghandi

PUTRAJAYA: Kejohanan Bolasepak Eropah atau lebih dikenali UEFA EURO untuk tahun ini akan membuka tirai pada 8 Jun di Warsaw, ibu kota Poland di mana tuan rumah akan menentang juara 2004, Greece.

Sejak Kejohanan UEFA EURO diadakan mulai 1960, terdapat tiga kali di mana kejohanan berprestij itu diadakan pada tahun sama Malaysia mengadakan pilihan raya umumnya (PRU).

Pertama kali adalah pada 1964 di Sepanyol. Kali kedua adalah pada 2004 di Portugal manakala kali ketiga pada tahun 2008 di mana kejohanan itu diadakan di dua buah negara, Austria dan Switzerland.

Walaupun sukar diramalkan pasukan mana yang akan menjulang trofi EURO 2012, namun ramai yang menjangkakan juara bertahan Sepanyol akan mempertahankan trofi yang dimenanginya pada 2008.

Jika hasrat mereka tercapai, ini bermakna Sepanyol bakal menjadi negara Eropah pertama yang memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut – Euro 2008, Piala Dunia FIFA 2010 dan Euro 2012.

Bagi rakyat Malaysia bola sepak sememangnya menjadi sukan nombor satu sehingga tercetus slogan popular “Makan Bola, Tidur Bola” dan tentunya banyak tumpuan akan dibuat pada kejohanan tersebut tahun ini walaupun perlawanan akan diadakan pada lewat malam atau waktu pagi di tanah air.

Demam pilihan raya juga tidak kurang bahang kehebatannya. Pada tahun ini pula ada yang meramalkan kemungkinan kedua-dua pertandingan itu, EURO 2012 dan PRU-13, diadakan pada tahun yang sama.

Yang pasti perlawanan akhir EURO 2012 akan berlangsung pada 1 Julai. Apa yang belum pasti ialah pasukan mana yang akan beraksi atau tarikh PRU-13.

Seperti EURO 2012, parti-parti politik tempatan kini dalam peringkat akhir menyiapkan skuad dan jentera pilihan raya mereka.

Mereka juga sedang mengenal pasti calon yang benar-benar layak dan mampu memikat hati pengundi sekaligus memastikan kemenangan.

‘Pengurus pasukan’

Calon yang kurang menyerlah atau berhadapan dengan bermasalah sudah pastinya tidak boleh disenaraikan.

Justeru segala-galanya terletak dalam tangan ‘pengurus pasukan’ mereka.

Bagi Barisan Nasional, tanggungjawab ini dipikul oleh pengerusinya, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapat input daripada ’jurulatih-jurulatih’ atau ketua-ketua parti komponen masing-masing.

Setiap keputusan yang diambil akan menjadi perhatian ramai kerana ia akan menentukan masa depan pasukan dan parti.

Mereka perlu memilih calon yang boleh menyerlah dalam kedua-dua pertandingan itu dengan mengambil kira kekuatan fizikal dan mental termasuk kejayaan dan sumbangan sebelum ini.

Kombinasi muka baru dan lama, strategi, taktik, serta corak permainan bersih perlu diatur dengan teliti untuk menumpaskan pihak lawan. Sebarang kesilapan dalam pemilihan calon sudah pasti akan memberi kelebihan kepada pihak lawan sama ada dalam PRU mahupun perlawanan bola sepak.

Lebih-lebih lagi mereka perlu memastikan semangat berpasukan itu sememangnya berfungsi seperti mana yang dirancang.

Bilakah Najib akan mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mendapat perkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong. Itulah soalan utama orang ramai di seluruh negara ketika ini.

Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada 28 April tahun depan di mana Dewan Rakyat boleh bubar secara automatik.

Sebelum ini, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi bayangan Parlimen mungkin dibubarkan seawal Mei 2012 bagi membolehkan PRU-13 diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

Dan baru-baru ini Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta komponen BN menyerahkan senarai nama calon untuk PRU-13. Difahamkan senarai itu telah diserahkan kepada Najib untuk diluluskan.

Kibaran bendera

Kibaran bendera parti-parti utama di merata tempat juga menandakan PRU mungkin semakin hampir.

Justeru semua pihak termasuk pembangkang, pemerhati politik, orang ramai dan rakyat Malaysia di luar negara menjangka Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Spekulasi itu diperkuatkan dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Najib mengadakan PRU ke 13 dalam masa terdekat memandangkan keadaan politik semasa menunjukkan sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

Menurut Dr Mahathir, situasi semasa menunjukkan Najib mempunyai kelebihan kerana kepimpinannya melalui program transformasi kerajaan yang giat dijalankan diterima baik keseluruhan rakyat.

Dengan senario PRU kali ini akan lebih sengit daripada dahulu, ini akan memaksa Najib untuk berhati-hati dalam menentukan masa yang sesuai PRU diadakan.

Beliau perlu memastikan persediaan rapi bukan sahaja Umno tetapi juga komponen BN yang lain selain membuat penilaian terhadap kedudukan parti pembangkang. Segala percaturan dan keputusan yang diambil beliau akan menentukan masa depan BN selepas ini.

Penerimaan rakyat terhadap kepimpinan beliau boleh dianggap sebagai petanda baik bagi BN memenangi PRU ke-13 dengan menawan semula beberapa negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 serta memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kebangkitan semula BN

Najib sendiri menyatakan keyakinan itu sebelum ini. Menurutnya, BN boleh melepasi cabaran PRU ke-13 kerana sejarah membuktikan kebangkitan semula BN dalam ujian besar yang dihadapinya sebelum ini termasuk tragedi 13 Mei, pengharaman Umno dan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan beberapa penganalilis politik turut optimistik PRU ke-13 akan memihak kepada BN.

Najib yang mula menerajui negara ini sejak 3 April 2009 sudah membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin yang berwawasan tinggi. Rakyat sedang menikmati hasil yang memberangsangkan daripada usaha dan idea beliau melalui transformasi negara.

Sebagai pemimpin berjiwa rakyat, beliau begitu serius dalam memperbaiki segala kelemahan kerajaan, sanggup turun ke mana-mana sahaja tanpa mengira waktu dan hari untuk mendengar rungutan masyarakat sekaligus menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi mereka.

Gelora tsunami politik 2008 adalah pengajaran pahit kepada BN. Najib dan BN sudah pastinya tidak mahu insiden buruk seperti itu berlaku lagi.

- Bernama

Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments