Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hanif pengerusi panel penasihat bebas

May 9, 2012

Bekas ketua polis negera Hanif Omar dan enam kenamaan lain telah dilantik untuk menyiasat kejadian rusuhan semasa perhimpunan Bersih 3.0 minggu lepas.

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan enam anggota Panel Penasihat Bebas bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian rusuhan di Kuala Lumpur berikutan penganjuran Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Mereka terdiri daripada bekas Ketua Polis Negara Hanif Omar selaku pengerusi panel, bekas Ketua Hakim Borneo Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian Husammuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew, Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Medan Abdullah, dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Tun Hussein berkata panel penasihat ini akan mengadakan mesyuarat pertama mereka secepat mungkin untuk menentukan terma rujukan serta peranan mereka.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sekali lagi memberikan penekanan kepada keperluan untuk mempertahankan keluhuran undang-undang, konsisten dengan pendirian kerajaan dalam mencari kebenaran, keadilan serta pembelaan kepada semua pihak.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan agar panel penasihat bebas ini dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas, serta bahan bukti berkenaan kejadian rusuhan itu,” katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Menurutnya pada masa yang sama, polis akan terus dengan siasatan mereka berhubung kejadian rusuhan itu, dan mengemukakan hasilnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Bantuan pakar

Sementara itu, Hishammuddin berkata panel itu akan diberikan kebebasan dalam pelbagai aspek, termasuk soal tempoh masa, serta pihak yang akan dirujuk bagi membantu siasatan mereka.

Katanya beliau ada mendengar syor sesetengah pihak untuk mendapatkan bantuan kepakaran pihak luar, contohnya jabatan polis New York atau polis United Kingdom bagi membantu siasatan, namun menurutnya akhirnya ia terpulang kepada keputusan panel berkenaan.

“Harapan kita adalah untuk orang ramai ketahui apa yang sebenarnya berlaku, hari ini ada bermacam-macam saluran, banyak tuduhan dan ada kecenderungan pihak tertentu hanya melihat kepada satu aspek sahaja terhadap apa yang berlaku pada hari itu, jadi cerita menyeluruh mesti dikemukakan panel ini.

“Kalau ia dikemukakan pihak Kementerian Dalam Negeri atau polis, mungkin ada pihak yang dah begitu prejudis, hingga apa yang kita cakap pun mereka tidak akan percaya, jadi panel ini ditubuhkan bagi tujuan itu,” katanya.

Hishammuddin berkata penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.

Katanya beliau percaya anggota panel itu cukup diyakini untuk memuaskan hati semua pihak.

Beliau berkata pada pandangannya penemuan panel itu juga dapat membantu kerajaan untuk melihat ke hadapan, khususnya dengan penampilan rang undang-undang berhubung perhimpunan aman, hasil transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak.

“Insiden seperti ini boleh membantu kami merangka masa depan, saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, ini peluang untuk meneliti dan melihat ke hadapan bagi memastikan bagaimana undang-undang sedia ada dapat diimbangi antara keperluan kebebasan dan hak asasi, dengan keselamatan negara,” katanya.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments