Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 28

 | May 13, 2012

Kita mungkin akan kehilangan restu para dewa dalam usaha menentang Ravana, kata Rama.

FEATURE

Dentingan genta dari kuil Mariamman mematikan lamunanku. Matahari semakin condong ke arah kaki langit. Sudah lama juga aku berada di sisi makam Tamnat Gangga.

Entah mengapa hatiku belum tergerak untuk berangkat pulang ke istana. Tentu Maramanden sedang risau menantiku di sana. Biarlah. Hari ini aku mahu melayan fikiranku sepuas-puasnya.

Aku membenarkan sahaja kenangan tentang kejadian masa lalu mengalir masuk ke dalam kotak fikiranku.

Walaupun pada mulanya ayah mengarahkan kaum Vanara supaya pulang ke Kishikindha, tetapi kemudian dia menukar fikiran. Dia membenarkan kami turut serta menjadi bala tenteranya. Itu pun rupa-rupanya setelah Surgiwa menyembah kakinya.

“Hanuman, bersedialah.” Malam itu tiba-tiba sahaja ayah berkata begitu apabila aku masuk ke khemah. Pada mulanya, aku tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh ayah.

“Kita berdua akan pergi menentang Jaya Sri dan Sura Bala pagi esok.”

“Kita?” Bodoh sangatkah soalan itu?

“Ya, kita berdua. Mengapa, kau takut?”

“T … t … tidak!”

Aku gugup. Aku gembira. Tentu indah dapat bersama-sama ayah. Tentu ini peluang untuk aku membuktikan kepada ayah bahawa dia tidak perlu berasa malu untuk mengakui aku anaknya. Aku harus menjadikan ayah bangga dengan kebolehanku!

“Tapi kekanda, bukankah kita perlu menyelamatkan kekanda Sita daripada Ravana? Kekanda sudah lupakah?” Letchumanen berhenti membetulkan ikatan tali busurnya.

“Adinda Letchumanen, Jaya Sri dan Sura Bala dua beranak itu mahu menakluk kayangan,” kata Rama sambil menghampiri Letchumanen dan memegang bahunya dari belakang.

“Biarlah. Apa kena-mengenanya dengan kita?”

“Adinda, kalau kayangan berjaya ditawan oleh mereka, kita akan kehilangan restu para dewa dalam usaha menentang Ravana.”

“Benar kata-kata kekanda. Tapi mengapa tidak kita berdua yang pergi menentang mereka?”

“Adinda, bukankah molek jika dua beranak itu ditentang oleh kami dua—”

“Kekanda!” Letchumanen tangkas berpaling memegang lengan ayah.

Teruskan ayah! Nyatakan yang kita adalah dua beranak. Katakan yang Hanuman ini adalah anak ayah!

“Maksud aku, … aa … biarlah … a … a … a … biarlah adinda berehat sebelum kita ke Langkapuri. Kekanda akan membawa Hanuman menentang Jaya Sri dan Sura Bala.”

Ayah bergegas keluar. Letchumanen juga. Tinggallah aku sendiri. Menangis. Ya, kera putih yang pernah melompat menangkap matahari, kini menangis. – Bersambung minggu depan

Baca juga:

Bahagian terdahulu

Novel bersiri ini adalah sebuah parodi retorik; bukan sebuah teks kudus atau itihasa moden.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments