Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Tarikh perbicaraan tipu pengarah NFC kekal Julai

May 21, 2012

Pada 30 Disember lepas, Shamsubahrin Ismail dituduh menipu Mohamad Salleh, yang kini merupakan pengerusi NFC.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen akan meneruskan perbicaraan kes ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang didakwa menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.755 juta, pada 16 hingga 27 Julai depan.

Hakim Rozilah Salleh mengekalkan tarikh perbicaraan itu, yang ditetapkan sebelum ini, selepas diberitahu Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa bahawa surat representasi daripada pihak pembelaan untuk mengkaji semula pertuduhan terhadap Shamsubahrin ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.

Pada 14 Mac lepas, pihak pembelaan yang diwakili peguam Zarina Ismail telah menghantar surat representasi itu supaya pihak pendakwaan mengkaji semula pertuduhan berkenaan.

Abdul Razak juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan masa untuk mengemukakan beberapa dokumen kepada mahkamah berkaitan kes itu termasuk dokumen yang belum diterima daripada syarikat telekomunikasi.

Mahkamah juga menetapkan 12 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Perkhidmatan rundingan

Pada 30 Disember lepas, Shamsubahrin, 46, dituduh menipu Mohamad Salleh, yang kini merupakan pengerusi NFC, iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Shamsubahrin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Resources Sdn Bhd, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada 6 petang, 20 Nov tahun lepas.

Dia juga dituduh menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakan beliau bagi menyerahkan cek bernilai RM1.755 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris, Mont Kiara di sini antara 25 Nov dan 6 Disember tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments