Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pemansuhan PTPTN gimik politik Anwar

 | May 23, 2012

Ketua Pemuda Umno mendakwa pemansuhan PTPTN langsung tidak disebut di dalam dasar bersama Pakatan Rakyat - Buku Jingga.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin merangkap Ahli Parlimen Rembau mengkritik cadangan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebagai gimik politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pemansuhan ini satu gimik politik kerana sokongan kepada Pakatan Rakyat sudah merudum.

“Ini helah untuk meningkatkan sokongan terhadap Pakatan bagi mendapatkan undi dari golongan muda,” kata Khairy ketika berdebat dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam debat bertajuk “Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara.”

Debat tersebut dianjurkan oleh akhbar Sinar Harian dan disiarkan secara langsung oleh Astro Awani malam tadi berlangsung selama 90 minit.

Beliau berhujah bahawa idea pemansuhan ini timbul semasa Anwar berkempen di Negeri Sembilan beberapa bulan yang lalu walhal ia bukan dasar bersama Pakatan.

“Buku Jingga tidak sebut pun tentang pendidikan percuma,” kata Khairy.

Selain itu Khairy turut membidas PKR kerana rancangan pemansuhan PTPTN sebagai agenda PKR, bukan Pakatan.

Beliau turut mengkritik Anwar kerana memainkan peranan sebagai ahli kabinet yang sama-sama meluluskan PTPTN dalam tahun 1997.

Anwar ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di dalam kerajaan BN.

Menjawab hujah Khairy, Rafizi menyangkal tohmahan tersebut atas alasan Pakatan mahu menjaga kebajikan pelajar.

Beliau juga menyangkal dakwaan pemansuhan PTPTN merupakan agenda politik PKR.

Pendidikan percuma

Rafizi berkata, kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan didokong sepenuhnya, dan menambah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih tegas dalam usaha memberikan pendidikan percuma.

“Hadi lebih tegas kerana merujuk kepada Ibnu Khaldun (ilmuwan Muslim ketika zaman kegemilangan Islam) berbanding dengan Anwar,” katanya.

Menurut Rafizi, Khaldun melihat pendidikan sebagai satu bentuk pelaburan yang akan melahirkan masyarakat berilmu.

Berkenaan peranan Anwar sebagai ahli kabinet, Rafizi berkata: “Keputusan kabinet adalah keputusan bersama.

“Semasa PTPTN digubal, tujuannya adalah untuk membantu para pelajar di universiti bukannya untuk menyemarakkan (pertumbuhan) universiti swasta,” kata Rafizi.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments