Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Rakyat berkualiti masa depan S’wak

 | May 23, 2012

Apa yang penting ialah penyertaan rakyat dengan penuh kreativiti atau skil yang tinggi serta komitmen padu terhadap rangsangan pembangunan.

KUCHING: Simbol kejayaan dan kegemilangan yang dikecapi Sarawak masa kini adalah hasil kualiti dan kredibiliti anak watan negeri ini yang sentiasa berusaha memajukan diri serta Bumi Kenyalang yang bertuah ini.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata realitinya masa depan masyarakat baharu di negeri ini terletak kepada rakyat yang berkualiti, inovatif serta cekap dalam pelbagai lapangan ke arah melonjak Sarawak ke era yang bertambah maju, aman dan harmoni.

Menurutnya, apa yang penting ialah penyertaan rakyat dengan penuh kreativiti atau skil yang tinggi serta komitmen padu terhadap rangsangan pembangunan yang diberikan oleh kerajaan, tambahnya.

“Inilah impian hari jadi saya pada malam ini iaitu ingin melihat anak Sarawak berjaya mengharungi realiti baru yang bakal dihadapi di masa hadapan.

“Malah dalam berdepan dengan realiti baru era globalisasi, kerajaan negeri akan berusaha memastikan tidak wujud perbezaan-perbezaan baru yang boleh menjadi tembok halangan untuk rakyat pelbagai kaum meneruskan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis sambutan hari jadinya yang ke-76 di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak.

Era globalisasi


Dalam pada itu, Taib memberitahu langkah perlu diambil untuk membangunkan tenaga kerja yang berupaya untuk berdaya saing dalam era globalisasi.

Hakikat itu ujarnya menuntut perjuangan politik mesti juga berubah dengan parti politik Barisan Nasional (BN) Sarawak akan terus menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat terutama sekali bagi penduduk luar bandar.

“Kepimpinan BN dan kerajaan negeri perlu memberitahu rakyat bagaimana proses pembangunan mudah diserapkan dengan adanya prasarana yang lengkap dan baik.

“Pendekatan sedemikian akan menjadikan perjuangan politik mudah difahami oleh rakyat dan memudahkan mereka memberi kerjasama padu, malahan menyumbang maklum balas yang amat berguna,” jelasnya lagi.

Malah tambahnya, ketika berdepan dengan globalisasi, dasar ekonomi perlu dikemaskini selari dengan pengiktirafan pasaran dunia yang bukan sahaja luas, malahan memiliki ciri kecanggihan yang nyata.

Katanya, untuk mengeksploitasi pasaran dunia pula, menuntut pemahaman terhadap keperluan pasaran antarabangsa yang mendalam serta sentiasa terkini.

Semua ini bermakna tenaga kerja perlu dilatih sebaik mungkin agar bukan sahaja berupaya menerima pemindahan teknologi malahan berdaya saing dengan memiliki sikap yang inovatif, jelasnya lagi.

“Dalam erti kata lain, kita dituntut menumpukan kepada betapa pentingnya pendidikan. Kita tiada pilihan melainkan melahirkan generasi yang akan menerajui pembangunan di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) nanti,” katanya.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Raghad Kurdi Taib, Speaker Dun Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang, Menteri-Menteri Kabinet Negeri, Timbalan Menteri, Menteri-Menteri Muda, Yang Berhormat-Yang Berhormat serta tetamu kenamaan lain.

Dalam majlis sama, Taib turut melancarkan Buku ‘Sarawak – A Pictorial Journey Of Progress And Development’ yang mengisahkan tentang perkembangan pesat pembangunan serta kemajuan yang dikecapi masa dulu dan kini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments