Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Batu, telur terbang di ceramah Anwar, Ummi

 | May 25, 2012

Insiden berpunca apabila ceramah Anwar Ibrahim diadakan hanya beberapa meter bersebelahan dengan ceramah Ummi Hafilda Ali.

KUALA LUMPUR: Ceramah politik di Lembah Pantai kecoh apabila kem PKR dan Umno masing-masing bertembung dan membuat provokasi sehingga mendatangkan kecederaan kepada penyokong.

Kekecohan itu mengakibatkan seorang lelaki warga emas cedera didahi apabila terkena batu yang dibaling secara rawak daripada kem Umno dan segera dikejarkan ke hospital berdekatan dengan ambulans.

Manakala beberapa penyokong lain dilaporkan turut mengalami cedera ringan, malah beberapa tayar kenderaan termasuk kereta milik Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dipancitkan.

Insiden berpunca apabila ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkarangan Flat Pantai Permai Dalam diadakan hanya beberapa meter bersebelahan dengan ceramah Ummi Hafilda Ali di Kuarters DBKL Perumahan Pantai Permai di sini malam tadi.

Hanya dipisahkan oleh pagar besi, sekumpulan anak muda daripada kem Umno yang memakai baju merah ‘Patriot’ memegang bendera Umno dilihat mula memanaskan suasana setibanya Anwar ke tapak ceramah kira-kira 10.30 malam.

Melalui provokasi lisan, mereka bersorak ‘tibai’ dan ‘liwat’ manakala Ummi Hafilda juga dilihat berucap dipentas mengaibkan Anwar dengan isu video lucah dan menggelarkannya ejen Yahudi.

Namun penyokong PKR berjaya ditenangkan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang menyifatkannya sebagai perkara biasa sejak beliau menentang bekas Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil empat tahun lalu.

Walaupun bekalan elektrik putus seketika di kem PKR dipercayai akibat disabotaj, namun Anwar dilihat terus bersemangat berucap dihadapan kira-kira 1,000 hadirin.

Kehadiran beberapa anggota polis yang bertugas mengawal keadaan disepanjang pagar dilihat tidak mampu menyekat kemarahan penyokong apabila kedua-dua belah pihak mula saling membaling air mineral.

Manakala ucapan Anwar dan Ummi yang saling boleh didengari melalui pembesar suara kelihatan seperti berdebat dan turut saling berbalas isu yang ditimbulkan masing-masing sambil diiringi sorakan penyokong.

Budaya samseng

Anwar yang kelihatan agak berang dengan suasana sedemikian semasa ucapan kemudiannya mengutuk tindakan Umno yang menggalakkan budaya samseng dalam berpolitik.

“Sedangkan naga (Mahathir) aku lawan, inikan pula cicak mengkarung (Ummi Hafilda)?…Kamu nak baling? Baling!,” katanya.

Keadaan semakin tegang apabila serangan telur mentah dan air mineral mula melayang secara bertubi-tubi sehingga membangkitkan kemarahan penyokong PKR.

Namun dengan bantuan polis dan Unit Amal PAS, suasana berjaya dikawal tanpa kejadian serangan balas secara lebih agresif.

Insiden itu turut berjaya mengalih tumpuan perhatian orang ramai kedua-dua belah kem yang pada mulanya tekun mendengar ceramah.

Kedua-dua ceramah itu bagaimanapun berjaya ditamatkan sebelum pukul 12 malam dan orang ramai dilihat bersurai secara aman.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil ketika ditemui FMT berkata pihaknya sudah pun memohon permit ceramah hampir sebulan lalu, namun hanya mengetahui ceramah Umno diadakan pada hari yang sama ditapak sebelah dua hari yang lalu.

Selain Izzah, Khalid, dan Anwar, ceramah perdana ‘Hala Tuju Ekonomi dan Politik Tanahair’ turut dihadiri Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Manakala majlis penerangan perdana ‘Ganyang Petualang Negara’ dihadiri Pengurus Besar (Operasi) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kapten (B) Dr Shamsuddin Munir, Bekas Ketua Biro Kebajikan dan Masyarakat PKR Lembah Pantai M Parthiban, Ustaz Ahmad Najib Yusof, selain Ummi Hafilda.

Dr Shamsuddin ketika ditemui FMT berkata, walaupun kesal dengan insiden sedemikian, beliau berkata tindakan membaling telur itu mungkin terjadi disebabkan provokasi melampau penyokong PKR.

“Mereka dah diajar buat kurang ajar semasa Bersih…mungkin anak-anak muda ini tertekan dan tak mampu menahan provokasi apatah lagi dengan kehadiran Anwar…ini perkara kecil sahaja,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments