Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

‘MB S’gor tak faham isu air’

May 25, 2012

Apa yang dibangkitkan kerajaan persekutuan mengenai kadar rizab air di Selangor ialah rizab air terawat bukannya kapasiti air mentah, kata Noh Omar.

SHAH ALAM: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini berkata dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim bahawa air di Selangor mencukupi menunjukkan beliau tidak faham isu air di Selangor atau cuba bermain politik.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor berkata apa yang dibangkitkan oleh kerajaan persekutuan mengenai kadar rizab air di Selangor yang tinggal 2.4 peratus berbanding kadar sepatutnya pada 20 peratus ialah rizab air terawat bukannya kapasiti air mentah di tujuh empangan di Selangor.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini bagi menjawab kenyataan Abdul Khalid yang mempelawa menteri persekutuan melawat empangan di Selangor bagi membuktikan air di negeri ini mencukupi.

Oleh itu, Noh berkata beliau sanggup menerima cabaran Abdul Khalid supaya melawat empangan-empangan itu dengan syarat Menteri Besar sanggup meminum air dari empangan itu.

Noh berkata buat masa ini terdapat 34 loji rawatan air di Selangor yang mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 4,371 juta liter sehari manakala keperluan air terawat di Selangor ialah 4,322 juta liter sehari.

Loji Sg Labu

Jumlah air terawat itu termasuk dari Loji Sungai Labu yang dibina kerajaan persekutuan yang mula beroperasi membekalkan 45 juta liter sehari sejak 20 Mac lepas.

Beliau berkata Loji Sungai Labu itu dibina dengan kos RM218 juta termasuk kos pembelian tanah di daerah Sepang daripada Sime Darby Bhd dan bukannya di atas tanah kerajaan negeri.

Loji itu kini diserah kepada kerajaan negeri dan diurus oleh anak syarikat kerajaan negeri Konsortium Air Selangor Bhd walaupun dibina dan dibiayai oleh kerajaan persekutuan.

“Kita tidak berkira dengan kerajaan negeri mengenai pembinaan Loji Sungai Labu dan sehingga kini tiada perjanjian seperti jumlah sewa dan sebagainya di buat. Ini menunjukan betapa ikhlasnya kerajaan persekutuan mengatasi masalah air,” katanya.

Pembinaan Loji Sungai Labu itu termasuk sebahagian dari RM600 juta projek mitigasi keperluan air di Selangor yang dilaksanakan kerajaan persekutuan selain daripada pemulihan sistem pam air dan pemulihan muka sauk loji rawatan air, kata Noh.

Beliau berkata walaupun dengan adanya loji baru di Sungai Labu, pengeluaran air mentah di jangka tidak mencukupi bagi menampung pelaksanaan projek-projek perumahan baru dan pembinaan 129 kilang dengan nilai pelaburan 3.6 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Justeru, pembangunan loji rawatan Langat 2 yang sehingga kini tidak mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri mesti dilaksanakan bagi memenuhi keperluan perumahan dan perindustrian yang semakin meningkat di Selangor.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments