Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Dr Rundi: SWP bukan mesra BN

May 29, 2012

Aneh bagi SWP isytihar ia parti mesra BN tapi pada masa sama bertanding menentang salah satu komponen BN negeri, PRS.

MIRI: Barisan Nasional (BN) Sarawak menyifatkan keputusan parti yang baru ditubuhkan, Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk
bertanding menentang Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebagai “bukan langkah yang betul”.

Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata adalah aneh bagi SWP untuk mengisytiharkan ia sebagai parti yang mesra BN tetapi pada masa yang sama memutuskan untuk bertanding di enam kerusi Parlimen yang dikuasai PRS, satu daripada parti komponen BN negeri.

“Bagaimana boleh anda anggap kami sebagai kawan apabila anda menentang satu daripada kami?” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa perhimpunan belia 2012 peringkat negeri di sini hari ini.

Semalam, Larry Sng, presiden SWP yang baru dilantik, mengumumkan parti itu bercadang bertanding menentang PRS di enam kerusi Parlimen iaitu Lubok Antu, Sri Aman, Hulu Rajang, Kanowit, Julau dan Selangau.

Sng, yang juga bekas menteri muda negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pelagus selama dua penggal, bagaimanapun berkata parti itu akan mesra dengan anggota lain komponen parti BN negeri.

Adun Pelagus George Lagong, yang memenangi kerusi itu sebagai calon Bebas, dilantik sebagai timbalan presiden SWP.

BN Sarawak dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan PRS.

Mengenai perhimpunan belia peringkat negeri yang akan diadakan pada 16 Jun, Dr Rundi yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia berkata lebih 5,000 orang dijangka berhimpun di Stadium Miri.

“Sebanyak lapan anugerah akan diberikan – Anugerah Tokoh Belia, Anugerah Belia Keusahawanan, Anugerah Belia Kesenian, Anugerah Jasa Belia, Anugerah Belia Sukarelawan, Anugerah Persatuan Belia Cemerlang, Anugerah Belia Sukan dan Anugerah Belia OKU,” katanya.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka melancarkan perhimpunan itu.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments