Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Sng lawan Salang di Julau?

 | May 30, 2012

Larry Sng dianggap orang paling sesuai membawa bendera SWP manakala Joseph Salang dari PRS disifatkan sebagai orang luar.

Oleh Edward Subeng Stephen

JULAU: Mungkinkah pilihan raya umum (PRU) kali ini akan menyaksikan seorang anak turun ke gelanggang untuk menuntut kembali ‘kawasan’ yang terpaksa dilepaskan bapanya pada 1999?

Terdapat desas-desus di sini bahawa Larry Sng Wei Shien, 33, yang baru dipilih sebagai presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP), akan bertanding bagi kerusi parlimen Julau pada PRU ke-13.

Satu sumber memberitahu Bernama bahawa bapa Larry Sng, Datuk Sng Chee Hua, dengan diiringi beberapa orang kepercayaannya, telah berjumpa dengan seorang ahli politik tempatan di pekan Sarikei hujung minggu lepas.

Dalam perbualan mereka sambil menikmati hidangan tengah hari, ahli politik itu, yang melancarkan perang peribadi terhadap Datuk Joseph Salang, anggota Parlimen selama tiga penggal daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), mencadangkan kepada Sng supaya meminta SWP memilih calon berkualiti untuk bertanding di Julau.

Beliau berkata Sng, bekas anggota dewan undangan negeri kawasan Pelagus dan bekas menteri muda di Pejabat Ketua Menteri/Menteri Muda Pembangunan Industri, adalah orang paling sesuai membawa bendera SWP.

Kata sumber itu, Sng, yang kini menjadi penasihat khas kepada kerajaan negeri mengenai hal-ehwal belia, tidak menghadiri perjumpaan itu, tetapi bapanya dikatakan bersetuju agar beliau bertanding di kawasan berkenaan kerana ketiadaan calon lain yang lebih berkaliber.

SWP, parti pembangkang terbaru di Sarawak, sedang berjuang untuk menuntut kembali kesemua enam kerusi milik PRS sebelum ini iaitu Sri Aman, Lubok Antu, Selangau, Kanowit, Julau serta Ulu Rajang dan akhirnya untuk menggantikan parti berasaskan kaum Dayak itu sebagai anggota Barisan Nasional (BN).

Sng pernah menjadi anggota Parlimen Julau selama satu penggal mulai 1995 ketika beliau bersama Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang kini sudah berkubur. Beliau juga adalah antara pengasas PRS, tetapi dipecat pada 2006 berikutan pertelagahannya berhubung kepimpinan parti itu dengan presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Pada PRU 1999, ketika Sng berada di kawasan pedalaman untuk berkempen bagi penggal keduanya, datang khabar daripada ibu pejabat BN di Kuala Lumpur bahawa perkhidmatannya tidak lagi diperlukan.

Salang diketengahkan dan menang. Beliau menang sekali lagi pada 2004 sebagai calon BN secara langsung dan pada 2008, beliau menang atas tiket PRS pula.

Kini, beliau adalah antara naib presiden parti itu dan menyandang jawatan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Kepulangan Sng

Ketika dihubungi, Salang, 62, yang terkenal kerana kemesraannya, berkata beliau juga mendengar tentang perkembangan terkini itu ketika berada di kawasan yang diwakilinya hujung minggu lepas.

“Saya diberithu bahawa ahli politik yang sama mengundang para pemimpin SWP ke rumah panjangnya di Nanga Engkamop, di sini pada 2 Jun untuk menghadiri majlis sambutan Gawai Dayak secara besar-besaran. Ikatan murni muhibbah itu suatu hal, tapi perhimpunan itu jelas sekali….untuk mengumumkan kepada penduduk Julau tentang kepulangan Sng.

“Tapi, tak kisahlah itu semua, tidur saya tak akan terganggu kerananya. Sekiranya pengundi di Julau merasakan sudah tiba masanya untuk membuat perubahan; untuk pemimpin lebih baik mengambil alih, tak apalah. Lagi pun, dalam amalan demokrasi seperti yang ada di negara kita, setiap orang mempunyai hak untuk bertanding pada pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber berkenaan, ketua dari 1ebih 100 rumah panjang di kawasan berkenaan diundang ke majlis berkenaan di Nanga Engkamop. (Pada hari berikutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat dua rumah npanjang – Rh Mathew Jana anak Saweng di Batu Matop dan Rh.George Chungot di Nanga Nansang, Pakan sebagai “ngabang” (kunjungan) pertama beliau ke rumah panjang Iban di sini).

Salang berkata sekiranya benar Sng akan bertanding di Julau, ahli politik yang mencadangkannya berbuat demikian berkewajipan memberi penjelasan mengenainya.

Orang luar

“Beliau pergi ke merata tempat untuk memberitahu bahawa saya orang luar dan perlu diketepikan kerana masanya sudah tiba bagi anak tempatan mengambil alih.

“Soalan saya kepadanya ialah adakah beliau seorang Meluan – atau dilahirkan serta dibesarkan di Pakan? Sekurang-kurangnya, nenek moyang saya adalah anak tempatan,” katanya.

Kalaupun ada perkara yang membimbangkan Salang, perkara itu ialah kemungkinan ada pihak yang akan membeli undi untuk menang dan jika ini berlaku, ia merupakan suatu perkara malang bagi penduduk Julau.

Menjawab soalan pemberita pada mesyuarat agung tahunan pertama parti itu di sini semalam sama ada beliau akan menjadi calon di Selangau atau Julau, Sng tidak mengesahkan atau menafikannya dan hanya berkata SWP sedang membuat penilaian di lapangan tentang peluang kemenangan calonnya.

Beliau bagaimapun berkata, yang pasti SWP akan bertanding di kesemua enam kerusi PRS.

Kerusi parlimen Julau mempunyai lebih 500 rumah panjang dan 20,761 pemilih berdaftar, kebayakan mereka anggota masyarakat Iban.

Kerusi negeri yang termasuk dalam kawasan itu ialah Meluan dan Pakan. Kerusi Meluan diwakili Wong anak Judat dan Pakan oleh Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawan Ikom (kedua-duanya daripada SPDP). Mawan juga adalah presiden parti itu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments