Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

SPRM cadang menteri isytihar kepentingan kepada Kabinet

 | June 1, 2012

Sekiranya menteri atau timbalan mempunyai jawatan dalam ahli lembaga pengarah, mereka perlu isytihar wujudnya ahli keluarga mereka memohon pinjaman mudah kerajaan.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mencadangkan supaya setiap anggota pentadbiran termasuk Menteri dan Timbalan Menteri mengisytihar kepentingan sekiranya ada ahli keluarga mereka memohon sebarang kemudahan daripada kerajaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata, sekiranya wujud kepentingan tersebut, anggota pentadbiran
berkenaan perlu mengisytiharkannya kepada Kabinet.

Beliau berkata pihaknya mahu supaya klausa itu dimasukkan dalam kod etika anggota pentadbiran bagi mengelak sebarang ruang dan peluang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Ahli keluarga itu meliputi adik-beradik, ipar, sepupu, mentua, bapa atau ibu saudara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Katanya, sekiranya menteri atau timbalan mempunyai jawatan dalam ahli lembaga pengarah, mereka perlu isytihar wujudnya ahli keluarga mereka yang memohon pinjaman mudah (soft loan) kerajaan dan tidak boleh terlibat atau membuat sebarang keputusan.

“Kalau dia putuskan maka dia melakukan kesalahan jenayah rasuah dibawah Seksyen 23 Akta SPRM iaitu menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan diri,” katanya.

Walau bagaimanapun menurut Sutinah syarat itu tidak menghalang mana-mana menteri atau timbalan menteri menyertai sebarang projek kerajaan selagi tidak melanggar kod anggota pentadbiran.

Katanya, langkah pencegahan ke atas sistem dan prosedur berkaitan pemberian pinjaman mudah ini diambil selepas isu projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) oleh NFC Corporation yang membabitkan bekas Menteri Pembangunan Keluarga Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya.

“Dalam konteks ini SPRM telah menjalankan pemeriksaan ke atas amalan, sistem dan prosedur pemberian pinjaman mudah ke atas projek berkenaan”.

“Pemeriksaan melibatkan beberapa agensi seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementeran Kewangan (MOF), Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan Syarikat NFC Sdn Bhd (NFCSB),” katanya.

Sutinah bagaimanapun enggan mengulas sekiranya Shahrizat semasa memegang jawatan dalam Kabinet telah melanggar kod etika terbabit dan terlibat dalam meluluskan pinjaman mudah RM250 juta projek NFC memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

Kadar gaji

Beliau juga menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam menentukan syarat kadar gaji seseorang lembaga pengarah syarikat kerana ia terletak dalam keputusan peribadi syarikat.

Ini kerana menurut laporan suami Shahrizat, Datuk Dr Mohammad Salleh Ismail selaku Pengerusi Eksekutif NFCorp mendapat pendapatan sejumlah RM100,000 gaji bulanan, anak lelaki mereka Izmir, 31 tahun selaku Pengarah Eksekutif berpendapatan RM45,000 sebulan.

Manakala, seorang lagi anak lelaki mereka, Wan Shahinur Izran, 27 tahun selaku CEO berpendapatan RM35,000 sebulan, dan Wan Izzanah Fatimah, 25 tahun berpendapatan RM35,000 – dan keseluruhannya berjumlah RM215,000 gaji bulanan untuk suami dan tiga anak Shahrizat.

Sementara itu, Sutinah berkata pihaknya turut mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya menyediakan satu tatacara yang standard, lebih jelas dan telus berhubung proses pinjaman mudah agar tidak ada ruang untuk mana-mana pihak melakukan penyelewengan.

“MOA juga perlu membuat ‘due diligent’ terlebih dahulu untuk mengetahui latar belakang syarikat dan kemampuannya sebelum memutuskan untuk memberi projek kepada syarikat berkenaan,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments