Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Jawatankuasa penduduk persoal percanggahan dokumen RTP12

June 2, 2012

Mendakwa kesilapan pada pencetakan sengaja dilakukan untuk mengelirukan rakyat.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Padang Rakyat Kelana Jaya hari ini mempersoal percanggahan dalam dokumen Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) yang diwartakan dan dokumen RPTJ2 dicetak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Setiausahanya Ir Esham Salam berkata pihaknya mendapati status kawasan padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu adalah pada dokumen RTPJ2 dicetak MBPJ yang dicetak dan diedar Februari lepas berbeza dengan RTPJ2 diwartakan Kerajaan Selangor pada 13 Jan tahun lepas.

“Kesilapan pada pencetakan itu sengaja dilakukan untuk mengelirukan rakyat,” dakwanya ketika ditemui Bernama di Kelana Jaya dekat sini. Turut hadir pengerusi jawatankuasa itu Datuk Zul Mukshar Md Shaari.

Beliau mengulas laporan media Rabu lepas bahawa dokumen RTPJ2 di MBPJ menunjukkan padang itu diwartakan sebagai tapak perniagaan dan perkhidmatan manakala dokumen sama di Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa Selangor menunjukkan kawasan itu diwartakan sebagai tanah lapang dan rekreasi.

Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri Selangor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat kesilapan itu.

Minta SPRM siasat

Esham berkata pihak berkenaan perlu memberi penjelasan kepada penduduk Kelana Jaya khasnya mengapa dokumen yang diwartakan telah diubah dan dijual sebagai dokumen rasmi yang penting.

Beliau berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat perkara itu demi hak penduduk Kelana Jaya.

Ditanya mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu, beliau berkata penyiasatan dan penelitian isu itu perlu dijalankan oleh pihak berkuasa dan bukannya jawatankuasa kerajaan negeri Selangor.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kerajaan negeri mengambil enam langkah membetulkan kesilapan itu iaitu dengan mengisytiharkan pembatalan pembangunan komersial di kawasan itu; PKNS membatalkan perjanjian usaha sama dengan pemaju projek dan ketiga mengembalikan status asal kawasan itu kepada padang permainan dan bangunan kelab.

Kerajaan Negeri juga perlu menyerahkan kawasan itu kepada pihak berkuasa tempatan untuk kegunaan rakyat;  mengisytihar kompleks sukan itu boleh diguna orang ramai dan bukannya kegunaan eksklusif; dan membangunkan prasarana untuk rakyat di sekitar kawasan itu seperti tadika dan perpustakaan sebagai pampasan kepada rakyat.

Wasangka

Zul Mukshar pula mempersoal kewujudan Rancangan Khas Kawasan (RKK) di kawasan itu yang turut diedarkan pada Februari lepas.

“Mengapa RKK ini diedarkan pada masa yang sama dengan RPTJ2? Ini menimbulkan wasangka kepada kami bahawa dokumen ini dibuat demi ‘menghalalkan’ RPTJ2 palsu diedar MBPJ itu,” dakwanya.

Zul Mukshar berkata pembangunan perumahan kondominium 37 tingkat dan pusat komersial bernilai RM1.8 bilion itu di kawasan itu antara lain boleh menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas di samping menarik kegiatan jenayah.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya membatalkan projek itu demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, jurucakap PKNS yang enggan dikenali menyatakan perbadanan itu masih tidak mempunyai sebarang perancangan lanjut dalam projek pembangunan di kawasan itu selepas isu percanggahan status itu didedahkan.

Ditanya mengenai isu percanggahan dokumen PTPJ2 itu, beliau berkata “PKNS buat masa ini tidak mempunyai sebarang komen berkenaan perkara tersebut.”

-Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments