Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Jakim: Buku Irshad Manji anjur pluralisme agama

 | June 4, 2012

Jakim mewajarkan pengharaman buku "Allah, Kebebasan dan Cinta" berdasarkan enam sebab.

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mewajarkan pengharaman buku “Allah, Kebebasan dan Cinta” pada 24 Mei lalu dan buku tersebut telah diharamkan pada 29 Mei kerana ia menggalakkan ideologi pluralisme agama.

Dalam sebuah artikel bertajuk Kerancuan Pemikiran Irshad Manji Dalam Bukunya “Allah, Kebebasan dan Cinta”, Mohd Aizam Mas’od dari Seksyen Akidah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim berkata,

“Manji mendakwa kalimah Allah adalah terjemahan bahasa Arab bermaksud Tuhan. Ini bererti kalimah Allah bukanlah kata nama khas yang merujuk kepada tuhan tertentu tetapi mana-mana perkara yang dijadikan tuhan akan diterjemahkan Allah dalam bahasa Arab.

“Hujah Manji salah kerana Allah adalah “kata nama khas yang hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa”, jelas Mohd Aizam.

Ujar beliau, “jika dikatakan bahawa kalimah Allah adalah terjemahan Arab bermaksud Tuhan, ini bermakna tuhan-tuhan dalam agama lain juga akan dirujuk sebagai Allah.

“Hal ini secara tidak langsung mengakui bahawa agama-agama lain itu juga menyembah tuhan yang sama sebagaimana yang disembah oleh umat Islam,” jelas Aizam.

Aizam turut berhujah bahawa dakwaan Manji bahawa Allah itu adalah Tuhan yang dikongsi dengan semua orang tidak pernah digunapakai dalam aqidah Islam.

Selain itu Jakim turut mengemukakan lima sebab lain yang mewajarkan pengharaman buku tersebut pada 24 Mei.

Buku tersebut telah diharamkan pada 29 Mei dan penerbit buku terjemahan tersebut Ezra Zaid telah dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada hari yang sama.

Ijtihad

Dalam hujah kedua, Jakim mempersoal ijtihad yang dikemukakan oleh Manji kerana beliau tidak sekalipun mendefinasikan ijtihad di dalam bukunya.

“Manji tidak mengemukakan apakah subjek yang ingin diijtihadkan itu, adakah ia teks-teks al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah SAW?

“Bagaimanakah dengan teks-teks suci yang petunjuknya jelas dan muktamad, adakah ia juga termasuk dalam ruang untuk berijtihad?

“Manji juga tidak membentangkan apakah metodologi yang digunakan untuk melakukan ijtihad,” jelas beliau.

Jakim seterusnya mendakwa bahawa Manji telah menghina Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW dengan menggunakan nama Imam al- Tabari.

“Manji telah menghina Rasulullah SAW dan berdusta atas nama Imam al-Tabari dengan mengatakan, “Ahli sejarah Muslim al-Tabari menceritakan bahawa Baginda mahu membunuh diri dengan terjun dari bukit daripada menyebarkan sebuah risalah yang akan menyebabkannya kedengaran seperti orang sasau”.

“Perlu ditegaskan tidak wujud sama sekali riwayat seperti yang dinukilkan oleh Manji kecuali ianya dinukil daripada buku-buku orientalis yang telah memutarbelitkan karangan para ulama.

“Manji turut mengatakan Nabi Muhammad SAW telah mengubah kalimah “rabb” kepada “Allah”, iaitu kata nama yang biasa digunakan oleh penyembah berhala Quraisy.

Jakim merasakan dakwaan Manji bersifat biadab kerana kedua-dua nama “Allah” dan “rabb” digunakan di dalam al-Qur’an bukan ciptaan hawa nafsu Nabi Muhammad SAW.

“Menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai pereka nama tuhan adalah sama dengan meragui kesucian al-Qur’an, sekaligus menuduh al- Qur’an itu hanyalah kalam Muhammad dan bukan wahyu daripada Allah,” tambah Aizam.

Kebebasan murtad

Buku tersebut turut diharamkan kerana Manji cuba mengolah semula syariah Islam atas nama kebebasan beragama termasuk kebebasan murtad.

“Bagi Manji, kebebasan individu adalah suatu integriti yang perlu dipertahankan. Tiada kebebasan bermakna tiada integriti atau keikhlasan dan kejujuran. Hal ini dijadikannya sebagai matlamat utama dalam pengabdian diri kepada Tuhan.

“Pemikiran Manji ini cenderung kepada fahaman humanisme dan rasionalisme kerana akhirnya perkara yang akan dipertuhankan atau diabdikan adalah akal manusia itu sendiri sedangkan Allah SWT telah menurunkan al-Qur’an dan RasulNya sebagai panduan manusia dalam menguruskan kebebasan hawa nafsu dan fikirannya,” jelas Aizam.

Selain itu Manji mempromosi fahaman sekularisme menerusi petisyen ‘Manifesto of 12′ yang disokong golongan atheis.

Manji turut didakwa meruntuhkan syariat solat dengan mengatakan bahawa Quran tidak menyatakan bentuk dan kaedah sembahyang.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments