Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Bersih 3.0: Pemimpin PKR didakwa merusuh

June 5, 2012

Timbalan Ketua PKR Cabang Rasah R Tangam mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan tambahan iaitu merusuh.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Rasah R. Tangam, yang didakwa sebelum ini berhubung perhimpunan Bersih 3.0, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan tambahan iaitu merusuh pada perhimpunan itu, di Jalan Raja, 28 April lepas.

Peguam kanan Rajesh Kumar Gejinder Nath, 45, dan Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Farhan Ibrahim@Alias, 29, yang juga telah didakwa sebelum ini, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka didakwa bersama penyokong ‘Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0)’ yang melebihi lima orang yang masih bebas menentang perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir dengan menggunakan kekerasan dan keganasan, semasa perhimpunan itu.

Pada 26 April lalu, Zaki Asyraf mengeluarkan perintah melarang orang awam mengadakan perhimpunan di kawasan Dataran Merdeka pada 28 April hingga 1 Mei lepas.

Tangam, 50, Rajesh Kumar dan Farhan didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja, 3 petang, 28 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bulan lepas, ketiga-tiga mereka didakwa di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret itu.

Sementara itu, seorang lelaki hari ini turut didakwa terhadap pertuduhan tambahan iaitu menyebabkan kecederaan terhadap wartawan stesen TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh, 28, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 3.50 petang, 28 April lalu.

Tertuduh, Mohd Safuan Mamat@Nordin, 25, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak sebelum ini didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu merosakkan kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan sebuah kon dan mendatangkan kecederaan kepada Konstabel Mohamad Kamil Paiman.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria memohon kepada mahkamah agar kes Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dibicarakan bersama.

Hakim Mahmud Abdullah menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dan menetapkan 4 hingga 7 Sept tarikh bicara bagi kes Mohd Safuan.

Barisan pembelaan diwakili peguam Afiq M. Noor mewakili Tangam manakala Rajpal Singh mewakili Rajesh Kumar dan Farhan diwakili Shamsul Iskandar.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments