Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Noh tidak hormati hak rakyat

 | June 5, 2012

Tindakan beliau menghasut rakyat Selangor untuk tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu benar-benar mengecewakan.

PETALING JAYA: Kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato’ Seri Noh Omar mempertikai program Selangorku Bersih membuktikan beliau buta demokrasi kerana tidak menghormati hak rakyat negara ini untuk mendapat pilihan raya yang adil dan bebas.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, melindungi rakyatnya untuk membuat pilihan menerusi sistem pilihan raya setiap lima tahun sekali.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi tanggung jawab untuk memastikan pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara bersih dan telus.

“Ini termasuk memastikan Malaysia mempunyai daftar pemilih yang tepat dan bersih,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Faekah, selepas tsunami politik pada 2008, telah berlaku banyak perubahan terhadap senario politik negara termasuklah di Negeri Selangor.

Antaranya kata beliau, berlaku peningkatan luar biasa jumlah pengundi baharu yang apabila dilihat dengan mata kasar agak tidak seimbang dengan jumlah penduduk terutama di kawasan-kawasan tertentu.

600,000 pengundi baru di S’gor


“Lebih mengejutkan ialah apabila semalam SPR mengumumkan terdapat pengundi baru di Selangor seramai 600,000 orang,” terang beliau.

Beliau berkata, meskipun Kerajaan Selangor menganggap daftar pemilih yang dikeluarkan SPR seharusnya sahih dan betul, namun lonjakan pengundi baharu agak membuka mata.

“Justeru sebagai sebuah kerajaan negeri yang sah, maka adalah menjadi tanggung jawab kerajaan Selangor untuk memastikan bahawa nama-nama yang tertera dalam daftar tersebut benar-benar rakyat yang bermastautin di negeri ini,” katanya.

Program Selangorku Bersih dilancarkan untuk maksud tersebut; membantu SPR dalam memastikan Selangor mempunyai daftar pemilih yang bersih sekali gus menolak sebarang andaian negatif terhadap SPR di atas lonjakan pengundi tersebut.

“Kita gerakkan semua JKKK, Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baharu di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan ini benar-benar wujud dan bukannya pengundi hantu seperti yang didakwa banyak pihak.

Noh hasut rakyat

“Tindakan Noh menghasut rakyat Selangor untuk tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu ketika menjalankan pemeriksaan adalah tindakan yang benar-benar mengecewakan.

“Seorang Menteri kanan boleh bertindak dan mengeluarkan kata-kata yang berniat jahat demi menghalang proses demokrasi,” tambahnya.

JKKK, ketua kampung dan penghulu adalah individu yang dilantik Kerajaan Negeri secara sah dan mereka ini mempunyai hak untuk menjaga keselamatan kampung dari anasir-anasir luar termasuklah npengundi-pengundi yang tidak sepatutnya berada di Selangor.

Noh sepatutnya menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan satu pilihan raya yang bersih, adil dan telus. Malangnya seperti “anjing yang takutkan bayang-bayang” Noh terus menuduh kerajaan Selangor menyalahgunakan kuasa dan terus menghasut rakyat di negari ini.

Ketakutan Noh ini seolah-olah mengiyakan kegusaran rakyat Selangor selama ini bahawa terdapat unsur-unsur pengkhianatan oleh kerajaan BN, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih.

SPR bersekongkol dengan Noh

Hal ini dijelaskan lagi apabila Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Hj Wan Ahmad Wan Omar turut bersetuju dengan kenyataan jahat Noh tersebut.

Ironinya, niat Kerajaan Selangor membuat gerakan mengesan para pengundi di seluruh negeri Selangor telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Wan Ahmad juga turut hadir dalam perjumpaan dua bulan yang lalu.

“Pada ketika itu Pengerusi SPR langsung tidak memberi reaksi negatif terhadap hasrat Kerajaan Selangor tersebut.

“Sebaliknya pula hari ini, apabila kita mulai mengesan pelbagai keraguan dalam daftar pemilih termasuk pendaftaran besar-besaran pengundi dari Sabah dan Sarawak, tiba-tiba SPR menjadi seperti cacing kepanasan.

Noh pula mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dan memalukan keseluruhan kepimpinan Umno terutama Perdana Menteri selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

“Apapun, rakyat Selangor tetap tekad mendokong Selangorku Bersih,” kata Faekah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments