Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Orang Melayu berasal dari Taiwan?

June 6, 2012

Kementerian Pelajaran disaran mengemas kini sukatan mata pelajaran Sejarah dengan penemuan teori terkini.

GEORGE TOWN: Kementerian Pelajaran hari ini disaran mengemas kini sukatan mata pelajaran Sejarah terutama bagi pelajar Tingkatan
Enam selaras dengan penemuan teori terkini dan penambahan maklumat oleh sejarawan negara.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Abu Talib Ahmad berkata beberapa tahun kebelakangan ini banyak aspek yang tercicir dalam subjek Sejarah dibangkit oleh ahli sejarah melalui penyelidikan mereka.

“Sebagai contoh sudah sekian lama kita percaya bangsa Melayu berasal dari Yunan tetapi hasil kajian terkini mendapati bangsa itu datang dari Taiwan berkembang di Borneo seterusnya Palembang sehinggalah beranak-pinak di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Perantauan Sumatera-Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CEnPRIS) di kampus USM di sini.

Abu Talib berkata penekanan fakta sejarah juga perlu melihat daripada semua aspek termasuk sosial, agama, budaya, makanan dan sebagainya, bagi membantu pelajar memahami ilmu sejarah dengan lebih terperinci dalam konteks yang lebih luas.

Sementara itu, Sasterwan Negara, Prof Emeritus Muhammad Salleh berkata tema dalam sukatan mata pelajaran juga perlu diperluas bagi menarik perhatian generasi muda kerana subjek sejarah itu adalah kunci bagi memupuk semangat nasionalisme kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kurikulum di sekolah menggalakkan penghafalan menyebabkan kebanyakan pelajar menjauhi mata pelajaran itu kerana ia membosankan. Sebenarnya Sejarah itu lebih menarik jika watak dan kerangka waktu dalam subjek dilakonkan semula,” katanya.

Seminar tiga hari bermula hari ini menghimpunkan 26 pembentang dari institusi pengajian tinggi tempatan dan Indonesia bagi mengupas 23 kertas kerja mengenai perkembangan susur galur bangsa Melayu dan menggalakkan kerjasama intelektual bangsa serumpun di rantau ini.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments