Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pajak tanah rezab Melayu Felda berisiko tinggi

 | June 6, 2012

Daripada jumlah keseluruhan pajakan seluas 105,382 ekar tanah rezab milik Felda Plantations itu, sejumlah 56,662.91 ekar tanah Felda Kelantan paling banyak dicagarkan.

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa masa depan tanah rezab Melayu kini berdepan risiko tinggi apabila dipajakkan selama 99 tahun kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendedahkan, daripada jumlah keseluruhan pajakan seluas 105,382 ekar tanah rezab milik Felda Plantations itu, sejumlah 56,662.91 ekar tanah Felda Kelantan, paling banyak dicagarkan bagi tujuan penyenaraian ke Bursa Saham.

Manakala tanah rezab Melayu di Johor melibatkan seluas 52,266.26 ekar, Perak (30,722.71 ekar), dan Kedah (7,487.11 ekar).

Pajakan itu menurutnya menimbulkan persoalan proses pemilikan kepada pemegang saham FGV yang dikuasai syarikat asing, sedangkan undang-undang hak tanah rezab Melayu tidak membenarkan sebarang pemilikan dipindahkan kepada bukan Bumiputera.

Tambahan pula prospektus FGV menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda hanyalah 5.5 peratus sahaja, sedangkan jumlah besar saham diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan Bumiputera.

Pindah hak milik

“Ini juga bermakna hak milik dan hasil ekonomi daripada tanah ini dipindahkan kepada syarikat yang status Bumiputeranya dipersoalkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan, melalui perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani antara Felda dan FGV pada 1 November 2011, sejumlah 343,484 hektar ‘tanah sedia ada’ Felda Plantations, selain ‘tanah sedia tambahan’ iaitu semua tanah tidak bergeran milik Felda, dan ‘tanah akan datang’ (tanah yang bakal diperoleh Felda pada masa depan) turut dipajakkan.

Katanya, perjanjian ini akan menjejaskan pegangan tanah di penempatan Felda seluruh negara dan memberi kesan besar kepada kebajikan peneroka.

“Perjanjian ini mengesahkan bahawa semua tanah tidak bergeran Felda telah dipajakkan kepada syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh pelabur swasta, sedangkan tanah ini menjadi nadi aktiviti ekonomi warga Felda,” katanya.

Oleh itu, beliau mempersoalkan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Naijib Tun Razak dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad tanah tersebut tidak adak dijual pada masa akan datang.

“Pendedahan ini juga jelas membuktikan Najib dan Isa telah berbohong apabila mereka menyatakan tanah yang melibatkan warga Felda tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian FGV,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments