Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

FGVH: ANAK mahu demo, isytihar ‘perang’

 | June 7, 2012

Tindakan radikal itu terpaksa diambil selepas ANAK sebelum ini sudah membantah menggunakan pelbagai cara mengikut saluran undang-undang.

KUALA LUMPUR:  Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dalam masa terdekat sebelum ia disenaraikan ke Bursa Saham pada 28 Jun ini.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata demonstrasi ala perhimpunan menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) itu mensasarkan sekurang-kurangnya 20,000 penyokong yang terdiri daripada warga Felda, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Katanya, tindakan radikal itu terpaksa diambil selepas pihaknya sebelum ini sudah membantah menggunakan pelbagai cara mengikut saluran undang-undang yang betul termasuk tindakan mahkamah, aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Bank Negara.

“Namun semua usaha dan suara kita Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu pun Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad tidak pernah mahu dengar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh dan lokasi demonstrasi tersebut minggu depan selepas berbincang dengan beberapa NGO.

Menurutnya, pihaknya turut merancang mengadakan beberapa kempen radikal dalam tempoh tiga minggu ini sebelum penyenaraian FGVH
termasuk menghantar notis kepada Najib mendesaknya memohon maaf dan menarik balik perkataan ‘haram jadah’ yang ditujukan kepada peneroka.

Katanya, notis itu akan diserahkan ke kediaman Najib di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya pada 15 Jun ini selepas solat Jumaat.

“Kalau Najib gagal (mohon maaf dan tarik balik perkataan ‘haram jadah’) kita akan saman malu. Jumlah tuntutan saman akan ditentukan nanti,” katanya.

Najib dalam ucapannya semasa mengumumkan ‘durian runtuh’ kepada warga Felda di Jengka 8 di Pahang pada 8 Mei lalu menggelarkan kumpulan peneroka yang membantah penyenaraian FGVH sebagai ‘haram jadah’.

Menurut Mazlan, kata-kata celupar itu bersifat jahat dan memalukan peneroka.

“Jangan salahkan kami apabila kita lancarkan perang…terpulang kepada mereka tapi kita tak fikir dalam masa tiga minggu ni mereka bersedia untuk mendengar,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments