Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Lingga, bumi bonda Tanah Melayu

June 7, 2012

Persamaan budaya, warisan dan cara hidup bangsa Melayu di Kepulauan Riau-Lingga dan di Malaysia terus tersemat dalam hati penulis.

Bahagian Akhir

Oleh Fadzli Ramli

(Ini adalah bahagian kedua daripada dua siri rencana catatan perjalanan penulis mengikuti Ekspedisi Jejak Jawi III, ekspedisi bagi mengkaji sejarah dan warisan Melayu di Kepulauan Riau-Lingga, Indonesia)

RIAU: Ada sebuah pantun yang diwarisi orang Melayu di Malaysia daripada generasi terdahulu berbunyi;

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Hampir semua orang Melayu di Malaysia dibesar dengan mengetahui pantun ini.

Bagaimanapun, ramai yang beranggapan bahawa “Pulau Pandan” dan “Gunung Daik” dalam bait pantun itu hanya nama tempat yang direka bagi membuatkan pantun itu kena iramanya.

Sebenarnya, kedua-dua tempat itu wujud, yang lihat sendiri oleh kumpulan ekspedisi ketiga “Ekspedisi Jejak Warisan Jawi III (JWJ III)”, dalam misi menjejaki skrip Jawi.

Gunung Daik tersergam gagah di Lingga atau nama gelarannya ‘Bonda Tanah Melayu’ manakala Pulau Pandan, yang kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan herba antaranya daun pandan terletak di tengah-tengah laut.

Gunung Daik Bercabang Tiga

Terdapat banyak laluan laut menuju ke ibu kota Lingga bernama Daik, namun penulis bersama anggota JWJ III memilih untuk menaiki perahu pompon, sebuah perahu memuatkan di antara lapan hingga 10 orang yang mampu memecut dengan laju.

Ketika memecut membelah lautan menuju ke Daik, penulis berpeluang melihat Gunung Daik, yang terletak 1,165m dari paras laut berlatar belakang langit berwarna biru dan air laut yang jernih.

Malahan, gunung itu mempuncayi tiga puncak.

“Tuan nampak ke tidak cabang tiga Gunung Daik itu, orang dahulu kata jika nampak cabangnya tiga orang itu cerdik,” kata pemandu bot dinaiki penulis, Wandy, 28, kepada Bernama.

Menurut Wandy, ketiga-tiga cabang gunung itu hanya boleh dilihat melalui sudut yang tertentu sahaja kerana cabang tiga puncak gunung itu tidak sebaris, puncak itu bercabang seperti tiga titik membentuk segi tiga.

“Tiga puncak gunung itu namanya Daik, Pejantan dan Cindai Menangis. Sehingga hari ini tiada sesiapa yang boleh sampai di tiga-tiga puncak kerana ia terlalu curam,” katanya.

Ketika matahari sudah melabuhkan tirai, perahu pompon dinaiki penulis memecut memasuki kawasan paya bakau dan keindahan kawasan itu mengamit penulis terutamanya kunang-kunang yang seakan berenang di kegelapan malam.

Kota Daik dan asam pedas

Pertama kali melihat kota Daik di siang hari terasa bagaikan berada di pekan Parit Raja di Batu Pahat, kampung halaman penulis.

Bangunan tertinggi di Daik ialah sebuah hotel tempat penulis serta anggota JWJ III menginap setinggi empat tingkat, yang turut dijadikan tempat bagi penduduk setempat meneruskan pengajian peringkat diploma dan ijazah.

Di tengah kota itu terdapat padang dan pentas tempat penganjuran pelbagai keramaian dan tempat yang sama digunakan sejak awal zaman pemerintahan kesultanan di Riau-Lingga.

Di hujung kota terdapat Masjid Sultan Lingga yang dibina pada 1801. Rumah kedai setingkat setia ‘menghuni’ kiri kanan jalan sejauh kira-kira 2km yang merentasi kota itu yang kebanyakannya menjual makanan dan pakaian.

Penulis berpeluang menikmati makanan asam pedas tetel (sejenis daging lembur bercampur lemak dan urat) di sebuah kedai makan di itu, dan keenakan masakan itu sama seperti asam pedas yang pernah dinikmati penulis di Melaka.

Penulis cuba berbahasa Indonesia untuk bertanya mengenai masakan asam pedas itu, tetapi ditegur mesra pemilik kedai, Embong Fatimah, 52.

“Kenapa berbahasa Indonesia, bukan ke kita ini sama orang Melayu. Jadi cakap Melayu tidak mengapa, saya faham,” katanya sambil tersenyum.

Bahasa Melayu adalah bahasa percakapan harian di Daik malah pada pendengaran penulis, bahasa Melayu yang digunakan lebih asli dan tidak mempunyai kata pinjam daripada bahasa lain seperti di Malaysia.

Malah paling menarik, percakapan orang Melayu di sini selalu diselang-selikan dengan pantun.

Berkenaan asam pedas, menurut Embong Fatimah masakan itu adalah resepi turun temurun dipelajari daripada neneknya dan selain tetel, ikan pari turut menjadi kegemaran dijadikan masakan asam pedas oleh penduduk setempat, sama seperti di Malaysia.

Hampir semua ramuan yang digunakan Embong Fatimah adalah sama, kecuali lada hitam menjadi perbezaan antara asam pedas di Daik dan Melaka.

Kota bijih timah, Dabo Singkep

Selain kota Daik, penulis turut berpeluang melawat sebuah lagi kota bernama Dabo Singkep yang terletak di pulau yang berlainan namun masih dalam daerah Lingga.

Menurut Ahmad Salleh, 48, seorang pemandu van teksi di Dabo Singkep, kota itu terkenal dengan perlombongan bijih timah yang dimulakan seawal 1812 oleh penjajah Belanda.

“Perlombongan timah dihentikan pada 1996, kerana bijih timah yang ada sekarang ini rendah kualitinya.

“Perlombongan kecil-kecilan masih ada, malah ada penduduk di sini yang melombong secara sendiri,” katanya.

Kegiatan perlombongan bijih timah telah menjadi pemangkin dalam pembangunan pantas Dabo Singkep, malah kota ini nampak lebih moden berbanding ibu kota Lingga iaitu Daik.

Dabo Singkep mempunyai pelabuhan yang baik di samping sistem jalan raya lebih kemas dan teratur. Bekalan elektrik juga air di kota ini nampak lebih stabil berbanding kawasan lain yang sering mengalami keputusan bekalan.

Namun menurut Ahmad Salleh, pembangunan menyebabkan barangan di Dabo Singkep lebih mahal berbanding kawasan lain di Lingga seperti minyak petrol pernah naik sehingga RP15,000 (kira-kira RM5) seliter berbanding harga biasa RP10,000 (kira-kira RM3.33).

“Malaysia bagus, harga petrolnya dikawal kerajaan malah diberi subsidi. Indonesia ada kawal tetapi kawasan pulau jauh sukar dikawal, pengedar petrol di sini hanya seorang jadi dia boleh naikkan sesuka hati.

“Petrol ini bahan utama, jadi bila dia naik semua barang naik. Khidmat teksi, lori dan kapal naik harga bila harga petrol naik. Barang kemudian naik juga bila harga khidmat naik,” katanya.

Meriam tegak

Ketika beristirehat di Pantai Batu Berdaun di pinggir Dabo Singkep, penulis terjumpa sebuah meriam yang terpacak secara menegak di dalam tanah.

Meriam Tegak, tidak banyak asal usul tentang meriam itu diketahui, namun seorang petugas Dinas Kebudayaan dan Pariswata Kabupaten Lingga (Agensi Kebudayaan dan Pelancongan Daerah Lingga), Lazuardy, mempunyai cerita yang menarik di sebalik kewujudan meriam itu.

“Ada sepasang suami isteri bertengkar mengatakan masing-masing lebih kuat, jadi isteri ini mengambil sebuah meriam dan memacakkan meriam itu di dalam tanah dengan sekali pacak sahaja.

“Kemudian dia cabar suaminya mencabut kembali meriam itu dari dalam tanah, tetapi hingga hari ini meriam itu masih terpacak dalam tanah. Kata orang isteri itu dapat kekuatan apabila memakan cendawan yang tumbuh di bawah lesung batu miliknya,” katanya.

Menaiki feri menuju ke Malaysia, penulis teringat pantun yang disampaikan Embong Fatimah, peniaga makanan di Daik;

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Persamaan budaya, warisan dan cara hidup bangsa Melayu di Kepulauan Riau-Lingga dan di Malaysia terus tersemat dalam hati penulis dan kumpulan ekspedisi yang meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia.

Tags:


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments